JEDDAH – Seramai 500,000 jemaah mengunjungi Masjidilharam pada 6 Mac lalu, rekod tertinggi bilangan jemaah umrah dalam sehari.
.Menurut kenyataan dari Presidensi Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, angka itu adalah jumlah tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh sehari sepanjang musim umrah 2025.
Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan pengurusan jemaah lebih cekap, pihak berkuasa memperkenalkan teknologi terkini bagi memantau aliran jemaah di sekitar Masjidil Haram.
Antaranya termasuk penggunaan pengimbas di pintu-pintu utama masjid, yang mampu mengesan jumlah jemaah secara langsung selain pemasangan kamera pintar bagi mengesan pergerakan dan mengenal pasti kawasan yang sesak.
Gabungan teknologi sensor dan kecerdasan buatan (AI) itu memudahkan pihak berkuasa mengatur pergerakan jemaah, terutama di kawasan tumpuan utama seperti Mataf (tempat melakukan tawaf mengelilingi Kaabah) dan kawasan Saie di antara Bukit Safa dengan Marwah.
Teknologi itu penting dalam memastikan keselamatan pengunjung, aliran masuk dan keluar yang lancar, serta tindakan pantas ketika waktu sibuk.
Sementara itu, rondaan keselamatan dengan kerjasama pelbagai agensi di Makkah terus dipergiat secara berterusan terutama ketika Ramadan, musim apabila jumlah pengunjung meningkat secara mendadak.
Ia menguruskan kesesakan, membantu jemaah warga emas, menyatukan semula kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga serta memberi panduan kepada pengunjung yang sesat atau memerlukan bantuan.
Pada masa sama, Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi turut mengedarkan 29,000 naskhah Al-Quran dalam bahasa Arab dan pelbagai bahasa asing kepada jemaah umrah yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah, pada 9 Februari.