PUTRAJAYA 16 Ogos – Kenaikan gaji penjawat awam adalah mesej jelas kepada sektor swasta bahawa tiada lagi alasan memberikan gaji rendah kepada pekerjanya walaupun menerima keuntungan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor swasta diharapkan meneliti semula kenaikan gaji yang lebih munasabah supaya tekanan kepada rakyat dan golongan pekerja itu dapat dikurangkan.
“Terutamanya syarikat yang mencatatkan keuntungan yang besar. Dengan itu tiada sebab mengapa gaji kurang daripada RM2,000,” katanya selepas menyampaikan Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, manakala tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi.
Katanya, pelarasan itu akan dilaksanakan secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini.
“Fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2026 dan kita melaksanakannya secara berfasa kerana kekangan dan mahu mengelakkan inflasi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata pihaknya kini dalam usaha untuk reformasi perkhidmatan awam sekali gus menaikkan gaji mereka yang bergred rendah menjadi RM2,000.
“Kita iktiraf khidmat mereka tapi prestasi harus dibaiki melalui Reformasi Penjawat Awam. Ini sebenarnya yang agak radikal dan besar, serta soal kebertanggungjawaban penjawat awam yang perlu ikut prestasi bukan ikut ‘time based’ sahaja,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam boleh menyemak kadar gaji baharu seperti diumumkan Perdana Menteri menerusi perkhidmatan kalkulator gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata kalkulator gaji dalam portal SSPA itu boleh disemak sejak semalam dan membantu penjawat awam mengetahui secara terperinci jumlah kenaikan yang bakal diterima mereka.
Bagaimanapun, JPA berkata, menerusi kalkulator gaji berkenaan penjawat awam hanya boleh mengetahui jumlah gaji pokok bersama kenaikan diterima sahaja dan tidak termasuk elaun tetap yang diterima.
“Jadi, penjawat awam perlu menambah sendiri jumlah elaun tetap diterima mereka bagi mendapatkan gambaran angka pendapatan bulanan selepas pelaksanaan kenaikan tersebut,” katanya.
Nnn
