KUALA LUMPUR 15 Ogos – Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Dr Maimunah Mohd Sharif, memberi amaran kepada pegawai dan anggota penguat kuasa bahawa tidak ada toleransi terhadap rasuah sepanjang pentadbirannya.
mentadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau yang memulakan tugasnya hari ini berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu dilihat sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berintegriti, akauntabiliti dan telus.
Justeru pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika siasatan mendapati ada pegawai dan anggota penguat kuasa, menerima rasuah.
“Saya meminta ketua jabatan dan pengurusan eksekutif untuk memantau dan memberikan advokasi serta pendidikan kepada anggota penguat kuasa dan pegawai sebagai langkah pertama.
Jangan sesekali ambil rasuah kali pertama, kerana akan adanya kali kedua, …jika diberi suapan jangan ambil, apabila diambil, maka akan berturutan,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dr Maimunah 63, yang juga datuk bandar wanita pertama di negara ini memulakan tugas hari ini selepas pelantikannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Beliau sebelum ini adalah wanita Asia pertama memegang jawatan Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat),
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semalam menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah bagi menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu menggantikan Kamarulzaman Mat Salleh.
Dalam pada itu, Dr Maimunah maklum mengenai tindakan mahkamah yang dikenakan terhadap Timbalan Pengarah dan Pegawai Penguat Kuasa DBKL atas dua pertuduhan meminta serta menerima rasuah dari penjaga pusat hiburan tanpa lesen.
Sementara itu, Maimunah berkata, aspek pendidikan akan diterapkan sebagai langkah pertama dan jika ia masih tidak berjaya, aspek tindakan akan dilaksanakan.
Ada 9,000 kakitangan DBKL
“Saya seorang tidak boleh (hapuskan rasuah) sebab kita ada 9,000 kakitangan DBKL, jadi saya turut meminta ketua jabatan dan pengurusan eksekutif untuk memantau selain kita juga ada rakan dari SPRM.
“Kita didik dan bagi pengetahuan namun kalau sampai tahap di mana penjawat awam ini pasti melakukan rasuah berdasarkan siasatan dalaman DBKL atau SPRM, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan jika ada bukti yang sah,” katanya.
Beliau berkata, amat penting untuk warga kerja DBKL mempunyai jati diri yang kuat dan mempunyai kesedaran yang kuat dalam menolak rasuah.
Maimunah juga berkata, pihaknya mencadangkan supaya diwujudkan satu pasukan petugas membabitkan semua agensi kerajaan yang berkenaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membanteras pelacuran dan perjudian.
Beliau mahu Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang ceria (vibrant), kreatif dan bersih bukan sahaja dalam aspek sampah sarap, namun juga dari segi aktiviti negatif.
Bagi mencapai matlamat itu, semua agensi berkaitan perlu duduk semeja dan merangka pelan tindakan dalam aspek membersihkan Kuala Lumpur daripada aktiviti pelacuran dan perjudian.
(Foto DBKL)
Nnn
