Mahkota: Sandiwara atau ribut dalam cawan

BERKOCAK lagi ‘air kopi Kluang’ dalam cawan. Selagi belum habis dihirup dan selagi ada sudu yang mengacau, atau selagi cawan tidak pecah, maka ia akan terus berkocak. Mungkin sehingga 14 September ini.

Begitulah situasi dalam beberapa hari kebelakangan ini, apabila UMNO dan Amanah bercakap mengenai ‘siapa layak’ diturunkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam kawasan Parlimen Kluang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 September sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 28 September.

‘Perebutan’ kerusi menarik perhatian apabila Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan UMNO bersedia mewakili Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi calonnya sebelum ini Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain.

Amanah Kluang juga bersedia meletakkan calonnya berdasarkan kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 menewaskan BN sebelum dimenangi semula BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Maka bermulalah pertelagahan mengenai kerusi itu sehingga Presiden Amanah Mohamad Sabu menegaskan bahawa isu tuntutan kerusi DUN Mahkota ini tidak perlu dibincangkan melalui media memandangkan ia masih belum dibincangkan di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan Perpaduan.

Mohamad menyeru semua pihak dalam kerajaan Perpaduan terutama ahli Amanah untuk memberikan tumpuan kepada PRK Nenggiri.  Amanah juga komited kepada usaha mengukuhkan perpaduan di kalangan parti komponen kerajaan Perpaduan.

Namun isu itu tidak terhenti di situ. Ini kerana Amanah berpandangan Kerajaan Perpaduan tidak wujud di Johor. Dalam erti kata lain Amanah sebagai komponen Pakatan Harapan (PH) berhak menawarkan diri, sama seperti UMNO.

Sebelum ini, Ketua Amanah Kawasan Kluang Dr Mohd Zuhan Mohd Zain menegaskan bahawa Johor bukan Kerajaan Perpaduan dan BN serta PH sekadar berkawan dan duduk secara harmoni di dalam rumah yang berlainan.

Kenyataan itu disokong oleh Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, bahawa prinsip parti penyandang atau ‘Principle of Incumbency’ tidak terpakai kepada 56 kerusi DUN di Johor berikutan PH negeri itu dianggap pembangkang.

Ini terbukti apabila tidak ada seorang pun Exco Johor dilantik dalam kalangan pemimpin PH dengan kesemua 11 Exco daripada UMNO/Barisan Nasional (BN).

Itulah punca asas yang mencetuskan pertelagahan UMNO/BN – Amanah. Lebih mudah faham, jawatan serta peranan PH diabaikan oleh UMNO Johor seolah-olah Kerajaan Negeri yang dibentuk sekarang milik BN/UMNO sahaja.

Andai esok lusa Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi UMNO Johor ‘mengalah’ dengan memberi pelbagai jawatan kepada DAP dan Amanah maka ‘air kopi dalam cawan tidak lagi berkocak. Isu ini umpama ‘ribut dalam cawan’.

Sekali pandang juga seperti sandiwara yang dipentaskan untuk tontonan ramai dengan kesudahan atau pengakhirannya UMNO boleh duduk bersama berkongsi kuasa dengan DAP, PKR, Amanah di negeri yang suatu masa dulu kubu kuat atau tiang seri UMNO. Sekadar peringatan, UMNO Johor pernah hilang kuasa sebelum ini.

Dan realitinya, tidak ada negeri yang boleh dianggap milik BN/UMNO kerana tanpa ihsan komponen PH, Pahang dan Perak tidak diwakili Menteri Besar UMNO.

Di Perak keputusan PRU15 menyaksikan PH memenangi 24 kerusi, BN sembilan dan Perikatan Nasional (PN) mendapat 26 kerusi di mana akhirnya BN-PH bergabung membentuk kerajaan dengan Menteri Besar daripada BN manakala komposisi parti diwakili Exco adalah empat daripada DAP, BN (3), PKR (2) dan Amanah (1).

Mungkin formula seumpama inilah yang Amanah mahu BN Johor laksanakan bagi menterjemahkan makaud Kerajaan Perpaduan.

Begitu juga di Pahang, pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi manakala PH (8) dengan enam daripadanya datang dari DAP, manakala PN mendapat 17 kerusi.

PH akhirnya bersama BN membentuk kerajaan Pahang.

Andai UMNO Johor mengikut formula UMNO Perak dan Pahang, sudah tentu tidak timbul ‘perebutan’ kerusi seperti berlaku sekarang yang jika tidak dibendung mampu mencetuskan pertandingan tiga penjuru melibatkan BN-PN-PH.

PRK DUN Mahkota menguji sejauh mana UMNO Johor sedia bertolak ansur, memenuhi tuntutan Amanah untuk bersama dalam sebuah Kerajaan Perpaduan sebenar seperti negeri-negeri lain termasuk yang dikuasai UMNO.

Sama ada ia sekadar sandiwara atau kocakan dalam cawan, Amanah sudah memberi isyarat kepada UMNO Johor bahawa sebarang kemungkinan boleh berlaku menjelang PRK DUN Mahkota yang dijadualkan 28 September ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment