SEPANG 15 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama’ umpama jarum halus menghidupkan fahaman komunis.
Justeru, kehadiran komik yang ditulis oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai Superman Hew dibantah kerana kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) tidak boleh dilupakan.
“Saya ingin tanya Teresa Kok. Apa yang dia maksudkan agar kita memandang sejarah dari sudut yang lebih terbuka dan rasional? Boleh ubah sejarah?
Sejarah tetap sejarah. Prinsip sejarah ialah “exist in the past, exist today and exist in the future”. Sejarah zalim tidak boleh diubah jadi sejarah baik hati. Kezaliman tetap zalim,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya.
Kenyataan itu sebagai menjawab kenyataan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok yang menggesa pemimpin UMNO menghormati keputusan mahkamah dengan tidak memainkan isu mengenai komik berkenaan.
Kok menyifatkan kenyataan Mohd Puad dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang meminta kerajaan menyekat semula komik itu sebagai tidak menghormati keputusan mahkamah dan menyekat kebebasan bersuara.
“Semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan. Buat masa ini, misi utama adalah berkenaan kepentingan rakyat, serta memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.
“Mahkamah telah mengeluarkan penghakiman penuh yang jelas menyatakan bahawa buku terbabit tidak mengandungi kandungan hasutan seperti yang didakwa dalam akuan bersumpah Menteri Dalam Negeri,” kata Kok.
Mohd Puad menegaskan genocide adalah genocide, Pol Pot tetap salah, Radovan Karadzick dihukum bersalah oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT).
“Mana boleh lupa kekejaman Bintang 3 dan peristiwa Bukit Kepong. Luka tetap berkekalan hingga ke hari ini dan akan datang. Itu maksud exist in the past, exist today and exist in the future.
2009 Mahkamah Persekutuan tolak usaha terakhir Chin Peng balik ke Malaysia. Tetapi abu mayat Chin Peng berjaya diseludup balik tahun 2019. Masa itu PH 1.0 berkuasa. Muhyiddin adalah Menteri KDN. Maka siapa tidak hormat keputusan Mahkamah?,” kata Mohd Puad.
Sementara itu, Dr Muhamad Akmal dalam reaksinya pula berkata, menghormati keputusan mahkamah tidak bermakna bersetuju dengan keputusan tersebut.
“Sebab itu kita minta kerajaan untuk memohon semula semakan keputusan mahkamah tersebut selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995,kerana isu ini begitu sensitif di kalangan orang Melayu di negara ini
Kepada Teresa Kok jika tidak faham juga apa yang dimaksudkan beritahu saya boleh lukiskan ataupun boleh translate dalam bahasa Cina,” katanya.
Beliau juga mengingatkan jika Pemuda UMNO Dan berfikiran autoritarian, Kok tidak boleh duduk dan menjadi ahli Parlimen di negara ini.
“Hormati hak majoriti penduduk negara ini sebelum kamu bercakap untuk menghormati hak kebebasan bersuara untuk kamu!,” kata Akmal yang juga Exco Kerajaan Melaka.
Nnn
