Larangan jual, guna tiga produk kosmetik

PUTRAJAYA 5 Ogos –  Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai mengelakkan penggunaan tiga produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan telah membatalkan notifikasi tiga produk berkenaan iaitu GB Night Cream Treatment yang dikesan mengandungi hidrokuinon dan tretinoin; GB Herbal Cream Treatment (merkuri dan betamethasone 17-Valerate); serta Aniqa Night Cream (tretinoin).

Pembatalan notifikasi produk terbabit dibuat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM.

Kenyataan itunp menjelaskan merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf.

Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau bayi yang belum dilahirkan serta boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Produk mengandungi hidrokuinon, tretinoin serta betamethasone 17-valerate pula adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan atas nasihat ahli profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan itu tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan, boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini.

Hidrokuinon boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu mengalami kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya, serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Tretinoin pula menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Betamethasone 17-valerate menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit, serta meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kemudaratan.

Susulan pembatalan itu, KKM menggesa penjual dan pengedar produk terbabit menghentikan serta-merta penjualan serta pengedaran semua produk berkenaan kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan itu pula berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

KKM menasihatkan mereka yang sedang menggunakan produk kosmetik berkenaan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Mereka juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA: www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment