Mossad didakwa upah ejen letak bom

TEHRAN: Mossad, agensi perisikan Israel, didakwa mengupah ejen keselamatan Iran untuk meletakkan bahan letupan di tiga bilik berasingan bangunan yang dihuni Ketua Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Menurut laporan akhbar Britain, The Telegraph, rancangan asal Mossad adalah untuk membunuh Haniyeh ketika beliau menghadiri pengebumian bekas Presiden Iran, Ebrahim Raisi, pada Mei lalu.

Dua pegawai Iran ketika mendedahkan perkara itu, bagaimanapun menjelaskan operasi berkenaan dibatalkan susulan jumlah orang ramai dalam bangunan dan berkemungkinan akan gagal.

Sebaliknya, dua ejen itu meletakkan bahan letupan di tiga bilik di rumah tetamu Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di utara Tehran yang mungkin dihuni Haniyeh.

Berdasarkan pegawai yang memiliki rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan terbabit, ejen dilihat bergerak secara senyap ketika memasuki dan keluar dari beberapa bilik dalam tempoh beberapa minit.

Mereka dikatakan sudah melarikan diri, tetapi masih memiliki seorang sumber di Iran, kemudian meletupkan bahan letupan di bilik didiami Haniyeh dari luar negara pada pukul 2 pagi, Rabu lalu.

Pegawai IRGC iaitu unit yang bertanggungjawab kepada keselamatan pegawai berpangkat tinggi, berkata mereka kini yakin Mossad mengupah ejen dari unit perlindungan Ansar al-Mahdi.

Hamas dan Iran sebelum ini mendakwa, Israel mendalangi pembunuhan itu dan berjanji untuk membalas dendam terhadap musuh mereka. Bagaimanapun Israel tidak mengaku atau menafikan bertanggungjawab atas kematian itu.

Bercakap kepada The Telegraph dari Iran, Pegawai IRGC iaitu unit yang bertanggungjawab kepada keselamatan pegawai berpangkat tinggi, berkata mereka kini yakin Mossad mengupah ejen dari unit perlindungan Ansar al-Mahdi.

“Siasatan lanjut menemui alat letupan tambahan di dua bilik lain,” katanya.

Sementara itu, pegawai kedua dalam angkatan tentera elit IRGC pula memberitahu The Telegraph, “Kejadian itu mengaibkan Iran, selain ia adalah pelanggaran keselamatan yang besar”.

Kematian Haniyeh adalah sebahagian daripada siri pembunuhan tokoh kanan Hamas, ketika perang di Gaza hampir memasuki bulan ke-11 dan kebimbangan konflik itu mungkin merebak ke seluruh Asia Barat semakin meningkat.

Related posts

Leave a Comment