DHAKA: Pusingan terbaru protes di Bangladesh yang menuntut Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletak jawatan menyaksikan sekurang-kurangnya 91 orang terbunuh, manakala 14 pegawai polis dan berpuluh-puluh lagi cedera.
Mereka terbunuh akibat ditembak dan terkena letupan bom tangan yang dilontar oleh anggota polis bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang kembali ke jalanan.
Kematian yang dilaporkan oleh polis dan doktor semalam (Ahad) berlaku di ibu negara Dhaka dan daerah utara Bogura, Pabna dan Rangpur serta di Magura di barat, Comilla di timur dan Barisal dan Feni di selatan.
Penunjuk perasaan menuntut Hasina meletak jawatan selepas protes awal pada Julai yang bermula dengan pelajar menggesa sistem kuota untuk pekerjaan kerajaan dihentikan, sekali gus mengakibatkan kepada keganasan yang mengorbankan 200 orang.
Hasina berkata, mereka yang terbabit dalam ‘sabotaj’ dan pemusnahan atas nama protes itu bukan lagi pelajar, tetapi penjenayah.
Pihak berkuasa Bangladesh menyekat akses internet dan mengenakan perintah berkurung susulan protes terbaru berkenaan.
Sekurang-kurangnya 11,000 orang ditahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Kematian dilaporkan dari sekurang-kurangnya 11 daerah termasuk Bogura, Magura, Rangpur dan Sirajganj, di mana penunjuk perasaan yang disokong oleh parti pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) bertempur dengan polis dan aktivis parti pemerintah Liga Awami dan badan berkaitannya.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya 150 orang terbunuh dan ribuan cedera dalam keganasan yang dilakukan kumpulan pelajar yang membantah kuota untuk pekerjaan kerajaan.
Protes terhenti seketika selepas Mahkamah Agung membatalkan kebanyakan kuota, tetapi pelajar kembali ke jalanan protes minggu lalu, bagi menuntut keadilan untuk keluarga mereka yang terbunuh.
