PARIS – Buat julung kalinya, acara pembukaan sukan yang biasanya berlangsung di dalam stadium berubah pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila ia berlangsung di sepanjang Sungai Seine.
Sebanyak 85 bot membawa kira-kira 6,800 atlet belayar menyelusuri sungai berkenaan dengan jangkaan 320,000 penonton menyaksikan acara itu di kedua-dua tebing Seine.
Perarakan kontinjen turut diselitkan dengan beberapa nyanyian serta tarian – sebagai simbolik meraikan kehadiran 205 delegasi negara.
Kontinjen Malaysia diwakili enam atlet dan empat pegawai pada acara pembukaan Paris 2024 dengan penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang
Bertrand dan Nur Shazrin turut disertai Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang) di atas bot yang turut membawa delegasi dari Malawi dan Maldives itu.
Kontinjen negara tampil menggayakan busana ‘The Malaya’ berwarna hijau zaitun dengan motif keemasan rekaan pereka fesyen terkemuka tempatan Rizman Ruzaini.
Atlet wanita memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sekali gus mempersembahkan imej perpaduan dimiliki rakyat Malaysia yang berbilang kaum di mata dunia.
Delegasi Malaysia turut disertai oleh ketua kontinjen, Hamidin Mohd Amin, timbalannya Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).
Turut hadir pada majlis pembukaan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung MOM, Mohd Nazifuddin Najib.
Kontinjen Malaysia disertai 26 atlet.
(Foto MSN)
