PUTRAJAYA 14 Julai – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin, termasuk serangan udara di kem pelarian al-Mawasi kelmarin yang meragut banyak nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak serta mencederakan ratusan yang lain.
Kementerian Luar berkata, serangan keji dan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di kawasan yang ditetapkan oleh Israel sebagai zon selamat untuk rakyat Palestin, sekali gus menunjukkan pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia.
“Ia juga bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan serta kekejaman yang berterusan dilakukan rejim Israel,” kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.
Katanya, keganasan yang berterusan itu secara jelas melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024) yang menggesa untuk menghentikan segera peperangan, melindungi penduduk awam dan memberi akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan di Gaza.
Ia seterusnya menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas bagi mengakhiri keganasan Israel serta menuntut pemimpin Israel bertanggungjawab ke atas jenayah tidak berperikemanusiaan itu.
