GUA MUSANG 14 Julai – UMNO Gua Musang akan menggerakkan jentera pilihan raya habis-habisan dalam misi wajib menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata UMNO bahagian mahu menebus kekalahan pada pilihan raya lalu sekali gus dapat mengembalikan kegemilangan UMNO yang tewas sebelum ini.
“Misi kita adalah wajib menang di Gua Musang. Kita tahu kalah menang semuanya di tangan Tuhan, tetapi kita mesti bekerja keras untuk membolehkan kita mendapat kemenangan seperti dulu.
“Jika kita berjaya memenangi DUN Nenggiri di Gua Musang, insya-Allah kita boleh tebus kembali kekalahan di tempat lain juga selepas ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang, di sini, semalam.
Bekas Menteri Kewangan dan bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau terpaksa melupakan hasrat untuk ‘berehat’ apabila dipilih pucuk pimpinan menjadi Pengarah PRK DUN Nenggiri mewakili Kerajaan Perpaduan.
“Saya sebenarnya berhasrat menyampaikan ucapan akhir saya pada persidangan ini kerana barangkali sudah sampai masa merehatkan kerusi tempat saya duduk untuk diambil alih orang muda yang pintar dengan pemikiran lebih cocok memimpin generasi baharu.
Namun apakan daya, ada PRK dan saya diberi tugas menjadi Pengarah PRK Nenggiri. Walaupun lutut saya terketar-ketar, lawan tetap lawan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, UMNO Gua Musang menyenaraikan nama tiga calon muda untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi memilih individu yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Nenggiri itu.
Razaleigh berkata, keputusan itu dilakukan berdasarkan kriteria yang diinginkan parti, selain mengambil kira faktor pengundi daripada golongan muda di DUN Nenggiri sebanyak 62.5 peratus.
Sementara itu, beliau berkata pada Mesyuarat UMNO Bahagian Gua Musang, Pemuda UMNO bahagian turut mengemukakan usul memperkukuhkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) untuk dibawa ke Persidangan Agung UMNO akan datang.
“Usul ini bertujuan membincangkan mengenai hubungan dan kerjasama dengan pihak parti serta kompenannya dalam kerajaan sedia ada.
“Satu keputusan perlu dibuat dengan mengambil kira suara majoriti berkenaan beberapa keputusan yang dibuat bersama kerajaan yang jelas memberikan impak kepada UMNO,” katanya.
(Foto FB Mohd Syahbuddin Hashim)
Nnnn
