KUALA LUMPUR 24 Jun – Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata, beliau mempunyai masa 21 hari untuk memutuskan kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu yang sudah terhenti keahlian mereka baru-baru ini.
Johari juga mengesahkan sudah menerima notis untuk mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen itu pada, Jumaat lalu.
“Saya sudah terima notis berkenaan Jumaat lalu daripada Ahli Parlimen Beluran yang juga Ketua Whip (Datuk Seri Dr Ronald Kiandee). Mengikut undang-undang saya ada 21 hari untuk mengkajinya.
“Insya-Allah bila saya sudah ada keputusan, saya akan maklumkan kepada anda. Harap bersabar,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Seni Sempena Ulang Tahun ke-55 Hubungan Diplomatik Malaysia-Romania, hari ini.
Ronald pada Khamis lalu mengemukakan notis kepada Johari, meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.
Ia susulan keahlian mereka digugurkan serta merta kerana gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini, bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaannya terhadap parti, yang dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang sudah pun diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada 1 Jun lalu berkata, seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN Bersatu sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.
Ini bermakna, enam Ahli Parlimen iaitu mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti diarahkan Bersatu.
Mereka ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Nnn
(Foto dari kiri Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Dr Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli) dan Dr Suhaili Abdul Rahman ketika persidangan Dewan Rakyat hari ini. –
(Foto ihsan FB Iskandar Dzulkarnain)
