KUALA LUMPUR 24 Jun – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) sudah memulangkan semula wang daripada empat akaun simpanan tetap berjumlah RM24.2 juta yang dicuri oleh satu sindiket, baru-baru ini.
MBSB Bank dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan, pihaknya sudah menjalankan satu siasatan dalaman secara menyeluruh susulan daripada siasatan awal yang dijalankan oleh polis.
Menurut kenyataan itu, kejadian ini membabitkan sindiket yang bersekongkol dengan beberapa kakitangannya, yang kini dalam tahanan polis.
“Sindiket ini melakukan pengeluaran wang secara haram yang disahkan menggunakan kad pengenalan (NRIC) palsu,” kata kenyataan itu.
MBSB Bank sedang bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa untuk memastikan siasatan kes yang berlaku di Kota Kinabalu, Sabah itu dapat diselesaikan dengan segera dan menyeluruh.
“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Kami telah memulangkan semua wang yang dikeluarkan secara haram daripada akaun pelanggan yang terjejas,” katanya.
Katanya, MBSB Bank komited untuk mengekalkan integriti keselamatan perbankan untuk semua pelanggannya dan akan terus bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan.
“Ini untuk memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan yang sewajarnya atas tindakan mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang sindiket yang mengeluarkan wang tunai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan tetap.
Suspek berusia 40-an itu ditahan di Sabah, pada 14 Jun lalu selepas polis menahan seorang bekas pengurus bank wanita sehari sebelum itu.
Secara keseluruhan, katanya, seramai 14 suspek ditahan bermula 13 Jun hingga kelmarin, empat daripada mereka adalah kakitangan bank terdiri pengurus dan penyelia simpanan tetap.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dalam satu sidang media, Jumaat lalu dilaporkan berkata dalang utama dikatakan mengagihkan habuan jenayah itu kepada rakan subahat mengikut peranan serta tugas masing-masing.
Berdasarkan siasatan Bukit Aman, suspek yang menjalankan tugas paling mudah menerima bayaran serendah RM100,000 hingga RM240,000.
