Malaysia-China senada kukuh hubungan

PUTRAJAYA 19 Jun –  Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari China, Li Qiang mengetuai delegasi Kerajaan kedua-dua negara dalam mesyuarat bilateral selama lebih satu jam di Perdana Putra.

Anwar melalui hantaran di Facebooknya berkata, dalam mesyuarat itu, beliau menzahirkan penghargaan atas kunjungan penuh bermakna delegasi China ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Saya dan Premier Li senada untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara, berlandaskan nilai-nilai yang dikongsi bersama di bawah konsep Madani dan ‘Komuniti Masa Depan Bersama”.

Perbincangan kami juga menyentuh potensi memperluaskan hubungan perdagangan kedua-dua negara. Ketika ini, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia mengalu-alukan lebih banyak perkongsian strategik dan pelaburan bernilai tinggi ke negara ini sebagai kesinambungan prestasi pelaburan tahun lalu, di mana 64 pelaburan dari China bernilai AS$2.6 bilion diluluskan membabitkan hampir 10,000 peluang pekerjaan baharu.

Mesyuarat turut menyentuh kemajuan projek antara kedua-dua negara seperti ECRL, Lembah Automotif Berteknologi Tinggi serta beberapa bidang lain yang berpotensi untuk diteroka bersama termasuk kenderaan elektrik (EV), pelancongan, pertanian, ekonomi digital, pendidikan, dan teknologi.

“Kami juga membincangkan isu geopolitik serantau dan yang terkait kepentingan bersama seperti potensi kerjasama ASEAN-China di bawah kepengerusian Malaysia tahun depan, Dasar Satu China dan situasi di Laut China Selatan.

Saya nyatakan keperluan untuk China memainkan peranan dalam soal krisis kemanusiaan di Myanmar, selain menzahirkan penghargaan atas sokongan tegas China terhadap Palestin,” katanya.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk menjemput Presiden Xi Jinping untuk mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia secepat mungkin.

Li tiba di Malaysia semalam bagi lawatan rasmi tiga hari, yang julung kalinya diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Perdana Menteri kedua Malaysia, Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Selesai perbincangan, Anwar meraikan rakan sejawatannya itu  dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana.

Nnn

Related posts

Leave a Comment