KUALA LUMPUR 19 Jun – Selepas ditangguhkan pada 4 Jun lalu, perbicaraan kes pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion dihadapi Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah ditangguh lagi.
Perbicaraan yang dijadualkan bermula hari ini, ditangguhkan lagi berikutan terdapat 48 dokumen antaranya membabitkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan kertas Kabinet masih dikelaskan sebagai rahsia dan sulit serta perlu diturun taraf sebelum boleh digunakan dalam perbicaraan kes.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan peguam K Kumaraendran, yang mewakili Mohd Irwan Serigar untuk menangguhkan perbicaraan berkenaan dan menetapkan prosiding bermula pada 22 Julai ini.
Muhammad Jamil bagaimanapun mengingatkan semua pihak bahawa mahkamah tidak mahu lagi mendengar alasan dokumen belum diserahkan, bagi menangguhkan prosiding bicara.
“Sila pastikan semua dokumen berkaitan kes diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula. Pada prosiding 4 Jun lalu, perbicaraan tidak dapat diteruskan.
Hari ni pun perbicaraan tidak boleh dijalankan kerana dokumen tidak diserahkan kepada pembelaan. Saya tidak mahu lagi (perbicaraan) kes ini ditangguhkan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, mengesahkan terdapat 48 lagi dokumen yang dikelaskan sebagai rahsia masih belum diturun taraf dan belum diserahkan kepada pihak pembelaan.
Beliau berkata, pendakwaan memerlukan masa sebulan untuk dokumen itu diturun taraf oleh pegawai di agensi berkaitan sebelum diserahkan kepada pembelaan dan memaklumkan pihak pembelaan ada menghantar surat menerusi e-mel semalam bagi penangguhan kes.
“Dokumen yang diminta oleh pembelaan antaranya dari APAD, EPU dan kertas Kabinet. Sebelum ditanda sebagai eksibit, dokumen ini perlu diturun taraf kerana ia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya.
Sementara itu, Kumaraendran memaklumkan mahkamah, pihaknya mengemukakan surat kepada pendakwaan semalam untuk mendapatkan 48 dokumen terbabit daripada pendakwaan.
Menurut Kumaraendran, kebanyakan dokumen berkenaan membabitkan rakaman percakapan anak guamnya yang akan digunakan dalam pembelaan kes.
Katanya, ia akan memprejudiskan kes anak guamnya jika pihaknya tiada dokumen berkenaan dan sehubungan itu, beliau memohon perbicaraan kes ditangguhkan sehingga semua dokumen diterima.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula berkata, pihaknya mengambil pendirian sama dengan Kumaraendran kerana pembelaan beliau bergantung kepada keterangan yang diberi oleh Mohd Irwan Serigar.
“Tan Sri Mohd Irwan kita boleh anggap sebagai CEO Kementerian Kewangan dan beliau mempunyai banyak pengetahuan dalam kementerian itu. Dokumen yang akan diserahkan oleh pendakwaan adalah relevan kepada anak guam saya,” katanya.
Pada 4 Jun lalu, Muhammad Jamil menangguhkan perbicaraan kes kepada hari ini dan memberi tempoh dua minggu kepada pihak pembelaan untuk meneliti dokumen yang diserahkan pendakwaan.
Pada 25 Oktober 2018, Najib, 70, dan Mohd Irwan Serigar, 67, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
