Antilompat parti tidak libat ahli Dewan Negara

KUALA LUMPUR 9 Ogos –  Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, langkah itu selepas mengambil kira beberapa aspek membabitkan isu perundangan di peringkat negeri dan perundingan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik baginda.

Katanya , ketika ini ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang dilantik oleh Agong dan yang dipilih oleh negeri berdasarkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili parti-parti politik.

“Oleh demikian, larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting iaitu isu perundangan ini di peringkat negeri selain memerlukan perundingan dan perkenan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik Agong,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, sokongan Ahli Dewan Rakyat kepada mana-mana parti politik atau gabungan parti politik boleh memberi implikasi kepada perubahan kerajaan dan kestabilan politik.

“Oleh itu, adalah lebih wajar undang-undang mengenai larangan bertukar parti hanya terpakai ke atas Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sokongan semua Ahli Dewan Negara kepada pindaan RUU ini amat penting memandangkan keperluan fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang mana suatu Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga atau minimum 40 dari 60 Ahli Dewan Negara.

“Pindaan undang-undang ini juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang sudah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

“Saya yakin RUU ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah, sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk jangka panjang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment