Tiada permit umrah tanpa permit haji

RIYADH 21 Mei – Permit umrah tidak akan dikeluarkan bagi mereka yang tidak mempunyai permit haji yang disahkan antara 16 Zulkaedah (24 Mei) hingga 20 Zulhijah (26 Jun).

Ini bermakna, mereka yang tidak mempunyai visa haji dilarang memasuki Makkah untuk mengerjakan umrah dan berisiko didenda jika melanggar peraturan itu.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata langkah itu bagi memudahkan jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan ibadah mereka dengan selesa di Masjidilharam di Makkah.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa ia akan mula mengenakan denda 10,000 riyal (RM12,510) ke atas mereka yang melanggar peraturan itu, termasuk warga Arab Saudi, ekspatriat dan pelawat yang ditangkap memasuki Makkah tanpa permit haji dalam tempoh berkenaan.

Hukuman akan dikenakan kepada sesiapa yang ditangkap tanpa permit haji di dalam kota suci Makkah, pusat bandar Makkah, tapak suci Mina, Arafah dan Muzdalifah, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat berkumpul jemaah haji, dan pusat kawalan keselamatan sementara

Denda akan dikenakan ke atas mereka yang melanggar peraturan dan arahan yang dikeluarkan kementerian dalam hal berkenaan.

Kementerian itu menegaskan bahawa ia akan menggandakan denda terhadap pesalah, sehingga 100,000 riyal (RM125,105) sekiranya pelanggaran itu berulang.

Ekspatriat yang didapati melanggar peraturan itu akan dihantar pulang ke negara mereka dan dilarang memasuki semula ke Arab Saudi sepanjang tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang.

Kementerian itu juga menyatakan sebelum ini bahawa hukuman bagi sesiapa yang ditangkap semasa datang mengambil orang-orang yang melanggar peraturan dan arahan haji ialah penjara sehingga enam bulan dan denda maksimum 50,000 riyal (RM62,552).

Selain itu, tuntutan merampas kenderaan yang digunakan bagi mengambil pesalah akan turut dilakukan melalui keputusan kehakiman, dan mengusir pengangkut yang melanggar undang-undang jika dia adalah ekspatriat, selepas menjalani hukuman penjara dan membayar denda.

Pesalah akan dilarang daripada memasuki semula ke Arab Saudi mengikut tempoh yang ditetapkan undang-undang.

Denda akan dinaikkan mengikut jumlah pesalah yang telah sediakan kemudahan pengangkutan.

Dalam pada itu Kementerian itu menggesa orang ramai melaporkan mengenai kempen haji palsu dengan menghubungi nombor telefon 911 di wilayah Makkah, Wilayah Timur dan Riyadh, dan di nombor 999 di seluruh wilayah di Arab Saudi.

Related posts

Leave a Comment