JOHOR BAHRU 17 Mei – Dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangandilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, mengesahkan kejadian itu dan turut memaklumkan suspek ditembak mati di lokasi.
Beliau berkata, dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.
“Siasatan awal mendapati anggota polis ditetak dan ditembak. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya di tempat kejadian.
Kejadian dipercayai jam 2.54 pagi apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.
Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Dia melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.
