JOHOR BAHRU 17 Mei – Polis mengesahkan lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi, adalah anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Susulan itu, bapa suspek, ahli JI di Ulu Tiram beserta empat lagi ahli keluarga yang berusia lingkungan 15 hingga 62 tahun, turut ditahan.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain yang mengesahkan suspek 34 anggota JI sememangnya membuat persediaan untuk melakukan serangan yang mengorbankan dua anggota polis itu.
Bercakap pada sidang media di lokasi kejadian, di sini, hari ini, Razarudin berkata, turut ditahan, dua pelajar masing-masing berusia 21 dan 22 tahun yang hadir di balai polis sebelum kejadian, kononnya untuk membuat laporan berkaitan kes cabul.
“Polis telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya, dipercayai ahli serpihan Jemaah Islamiyah.
“Bapa suspek adalah ahli Jemaah Islamiyah di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan JI,” katanya.
Tambahnya, polis mendapati suspek telah membuat persediaan sebelum melakukan serangan di Balai Polis tersebut.
“Beg yang digunakan sebagai pelindung telah diisi dengan barangan untuk bertempur dengan polis, kemungkinan dia datang untuk mendapatkan senjata api.
Saya telah mengarahkan Cawangan Khas untuk mendapatkan semua anggota JI yang berada di Johor untuk dikenal pasti dan disiasat. Kita ada lebih daripada 20 anggota JI sedang disiasat,” ujarnya.
Mengenai tangkapan dua pelajar, beliau berkata, adalah tidak logik, kes cabul dua tahun dahulu tetapi datang balai pukul 2 pagi.
Razarudin juga berkata, pihaknya juga akan meningkatkan kawalan keselamatan di Balai Polis sekitar negeri itu.
“Kawalan di balai akan dipertingkat dan polis akan maklumkan kepada pihak Istana dan Menteri Besar kerana ia adalah tanggungjawab kami. Kami akan meningkatkan peronda di balai dan jika ada pencahayaan kurang di mana-mana balai ia akan dipertingkatkan,” katanya.
Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.
Dua anggota polis dan suspek yang maut di hantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.
Nnnn
