SEPANG 17 Mei – Cadangan program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah tindak balas kecemasan negara, dalam menyediakan dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.
Justeru Ketua DAPSY Kebangsaan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, cadangan itu tidak mencabar kedudukan istimewa atau hak perlembagaan Melayu dan Bumiputera seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kekurangan doktor pakar pembedahan jantung ketika ini amat kritikal dan pilihan jangka pendek yang ada adalah untuk mencadangkan agar UiTM menerima pelajar bukan Melayu untuk melanjutkan pelajaran mereka di institusi itu.
Ia didorong oleh faktor bahawa UiTM mempunyai formula silibus kurikulum yang terbaik di dalam pembedahan jantung.
“Malah, pelajar akan dipindahkan ke Universiti Malaya (UM) selepas program Sarjana Pembedahan Jantung mereka digubal dengan lengkap sepenuhnya kelak,” kata Ahli Parlimen Kuching itu dalam satu kenyataan, semalam.
Kelvin berkata, Malaysia memerlukan 90,057 orang doktor pada 2025 dan 114,187 orang doktor pada tahun 2030.
“Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan pada tahun 2025, negara kita akan mempunyai populasi penduduk sebanyak 36,022,700 dan sebanyak 38,062,200 populasi penduduk sebanyak 2030.
“Sektor awam memerlukan sekurang – kurangnya 30 peratus doktor pakar. Ini bermakna kita memerlukan seramai 18,912 (2025) dan 23,979 (2030) doktor pakar di sektor awam kelak.
“Berdasarkan data terkini, KKM menganggarkan hanya mampu menghasilkan 19 peratus doktor pakar pada tahun 2025, kurang 11 peratus bagi mencapai sasaran sebanyak 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata, bagi pengkhususan kepakaran Pembedahan Jantung, negara memerlukan nisbah doktor pakar 1:500,000 pada tahun 2025, dan 1:450,000 pada tahun 2030.
Katanya, berdasarkan kepada kadar nisbah semasa, negara kekurangan 15 peratus tenaga pakar pembedahan jantung yang diperlukan pada tahun 2030.
“Perkara ini amat membimbangkan dan ia memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan negara dan kualiti perkhidmatan kepada pesakit yang amat serius jika masalah ini tidak ditangani dengan baik.
“Ramai pesakit yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan atau setahun bagi mendapatkan pembedahan jantung dan amat menyedihkan kerana ada yang meninggal dunia sementara menunggu giliran rawatan mereka,” katanya.
