ISTANBUL: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian Palestin (UNRWA) memberitahu, kira-kira 150,000 rakyat Palestin sudah meninggalkan Rafah, di mana pencerobohan Israel sedang dijalankan.
Jurucakap UNRWA, Louise Wateridge berkata, di mana-mana sahaja kelihatan keluarga sedang berkemas dan jalan–jalan lebih kosong.
“UNRWA menganggarkan lebih 150,000 orang kini sudah melarikan diri dari Rafah. Arahan untuk kawasan baharu dikeluarkan bagi pemindahan ke Rafah tengah di selatan Gaza dan Jabalia di Gaza utara,” kata jurucakap itu.
Israel menyerang Semenanjung Gaza sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang.
Hampir 35,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dan ramai lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Menjelang serangan daratnya, tentera Israel minggu ini mengeluarkan arahan pemindahan untuk 100,000 orang di timur Rafah, yang menempatkan kira-kira 1.4 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Sebelum ini, Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Israel menghentikan perbuatan itu dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam.
Afrika Selatan pada Jumaat meminta ICJ mengarahkan Israel berundur dari Rafah sebagai sebahagian daripada langkah kecemasan tambahan berhubung perang itu.
Nnn
