GENEVA: Kerajaan negara-negara seluruh dunia bersetuju melanjutkan perbincangan selama dua minggu lagi berhubung perjanjian penting berkaitan pengendalian pandemik pada masa depan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kelmarin, rundingan pusingan kesembilan serta terakhir yang membabitkan sejumlah 194 negara anggota WHO, kumpulan advokasi dan pihak berkepentingan itu berakhir pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, rundingan itu berakhir tanpa memuktamadkan perjanjian yang dijadualkan untuk dipertimbang untuk kelulusan pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia, lewat bulan ini.
Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) yang diketuai negara anggota, telah ditubuhkan lebih dua tahun lalu bagi merangka dan merundingkan perjanjian yang mengikat dari segi undang-undang mengenai pencegahan, persediaan serta tindak balas pandemik.
Terdahulu pada awal bulan ini, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, merayu 194 negara yang merundingkan kesiapsiagaan pandemik global untuk segera memuktamadkan perjanjian itu.
Kesemua negara anggota WHO itu menghabiskan dua tahun terakhir merangka perjanjian antarabangsa mengenai pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas wabak, namun tempoh itu kini hampir tamat.
Tedros mengakui bahawa bagi sesetengah pihak, perjanjian itu sama ada terlalu khusus, tidak cukup khusus, terlalu kuat atau terlalu lemah, tetapi menggesa penentang supaya tidak menghalang orang lain daripada membuat perjanjian.
“Saya ada satu permintaan mudah iaitu tolong selesaikan perkara ini segera sebelum kita menghadapi pandemik lain.
“Saya menghargai bahawa ia adalah satu proses yang sukar, kadangkala menyakitkan dan belum berakhir. Saya menghargai jika semua pihak kini bertolak ansur, walaupun berkaitan isu yang anda tidak mahu lakukan,” katanya.
Tragedi Covid-19 yang mengorbankan jutaan penduduk sejak Disember 2021 selain menyebabkan kehancuran ekonomi dan kelumpuhan sistem kesihatan, mendorong semua negara mencari rangka kerja komitmen bersama yang bertujuan mencegah satu lagi bencana seumpama itu.
Selepas berdepan dengan pandemik Covid-19, 194 negara anggota WHO merundingkan perjanjian antarabangsa yang bertujuan memastikan pihak berkuasa lebih bersedia untuk menangani malapetaka kesihatan seterusnya, atau mencegahnya sama sekali.
Nnnn
