40 % tidak hadir janji temu dos 3

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Sebanyak 40 peratus golongan sasaran yang diberikan janji temu untuk mendapatkan suntikan ketiga dos penggalak vaksin Covid-19 tidak hadir untuk menerima suntikan masing-masing.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, situasi berkenaan menimbulkan kerisauan kerana jumlah kehadiran penerima untuk dos pertama dan kedua vaksin adalah tinggi iaitu lebih 95 peratus.

“Pada masa itu, semua takut mengenai Covid-19, tetapi sekarang apabila kadar jangkitan dan kematian sudah menurun, kita lihat sudah mula ada norma baharu untuk mereka hidup dengan virus ini.

“Mereka rasa leka dan apabila dijemput untuk mendapatkan dos penggalak, mereka tidak hadir dan rasa tidak perlukan dos penggalak itu,” katanya dalam program Bual Bicara Kesihatan menerusi slot Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1, sempena pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob di saluran sama, hari ini.

Khairy merayu pihak yang diberikan tarikh untuk menerima suntikan dos penggalak supaya memenuhi janji temu berkenaan.

Katanya dos penggalak itu akan melindungi diri untuk jangka lebih panjang daripada kesan buruk akibat Covid-19.

“Selepas menerima dua dos, sistem imum kita memang sudah bagus untuk melawan Sars-CoV-2 dan Covid-19, tetapi selepas enam bulan, ketahanannya menurun sedikit, justeru ia memerlukan sedikit rangsangan melalui dos ketiga,” katanya.

Khairy berkata, dos ketiga itu digalakkan diambil oleh mereka yang berisiko tinggi termasuk petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan orang ramai dan terdedah kepada Covid-19.

Selain itu, warga emas dan mereka yang mengalami pelbagai masalah penyakit kronik termasuk obesiti, kencing manis serta sakit jantung juga digalakkan mengambil dos ketiga dan akan diberikan tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera masing-masing.

Related posts

Leave a Comment