KUALA LUMPUR 7 Mei – Pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini, petang ini sudah berusia lebih 50 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Katanya, pokok lama itu di bawah pemantauan pihak swasta.
Beliau berkata pemeriksaan pokok-pokok di Kuala Lumpur dilakukan secara kerap oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pemantauan dibuat dua tahun sekali.
“Kita juga telah mengenal pasti banyak pokok berusia sekitar 50 sehingga 80 tahun di ibu negara yang mana pokok-pokok ini hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi dengan cuaca yang tidak menentu,” katanya di lokasi kejadian.
Zaliha berkata, bqgi menjaga keselamatan awam, DBKL juga akan melihat garis panduan yang perlu diambil bagi memantau pokok-pokok sudah tua ini.
“Buat masa ini, kita tidak ada data berapa banyak pokok tua tetapi pemantauan akan dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perbincangan masih dilakukan berhubung pemberian pampasan kepada mangsa-mangsa terlibat.
“DBKL kebiasaan akan ambil tindakan dalam mengenal pasti profil mangsa dan sebagainya,” katanya.
Katanya, kerja-kerja pembersihan di kawasan kejadian dijangka selesai selewat-lewatnya malam ini.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail.
Nnn
