HULU SELANGOR 7 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima aduan rasmi mengenai wujud sogokan kepada pengundi dan salah guna jentera kerajaan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata kempen berlangsung dalam keadaan yang baik, hormat-menghormati dan tidak menyalahi undang-undang ditetapkan kecuali satu kes berkempen menggunakan gambar Sultan Ibrahim.
Beliau berharap dalam tempoh berbaki tiga hari lagi, semua pihak menerapkan nilai positif dengan berkempen secara matang.
“Saya sangat berharap tinggal lagi tiga hari (berkempen), kita berkempen secara matang, berkempen secara elok dan kita saling menghormati. Paling penting kita menggalakkan semua pengundi keluar mengundi,” katanya kepada pemberita selepas selesai meninjau perjalanan pengundian awal di Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia.
Mengulas perjalanan proses pengundian awal hari ini, Abdul Ghani berkata, peratusan keluar mengundi begitu menggalakkan.
Setakat pukul 11.30 pagi, SPR merekodkan 73 peratus pengundi sambil berharap pengundian awal yang berlangsung hari ini, mencatatkan peratusan tinggi.
“Sejam pertama merekodkan 24 peratus. Sejam kedua 55 peratus dan sejam ketiga 73 peratus. Satu prestasi yang begitu menggalakkan dan kita harap untuk undi awal ini mendapat peratusan tinggi,” katanya.
Sementara itu, Abdul Ghani memaklumkan bahawa lawatan ke DUN Kuala Kubu Bharu hari ini adalah tugasan terakhirnya sebagai Pengerusi SPR sebelum Khamis ini iaitu hari terakhir beliau menjalankan tugas itu.
“Saya akan menamatkan perkhidmatan pada 9 Mei ini (Khamis). Tinggal lagi dua hari saya akan berpencen tempoh umur 66 tahun sebagai Pengerusi SPR.
“Saya mengharapkan daripada kepemimpinan yang baharu dapat melaksanakan tugasan di SPR dengan baik, berkecuali, bebas dan kita dapat meneruskan demokrasi dengan baik serta cemerlang,” katanya.
