PETALING JAYA 7 Mei – Dunia tidak akan aman selagi negara Barat meneruskan kempen yang hanya memburukkan Islam dan menggambarkan umatnya sebagai pengganas, kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Kita tidak akan hidup aman sehinggalah kita menghentikan kempen terhadap hanya satu kumpulan (Islam), yang datang daripada media Barat,” katanya
Beliau berkata, masyarakat berbilang bangsa dan agama pernah hidup aman serta harmoni di bawah kepemimpinan khalifah Islam, tetapi keadaan berubah selepas Barat melaksanakan agenda mereka, terutama atas alasan memerangi pengganas.
“Mereka (Barat) hanya memfokus satu kumpulan dan agama, iaitu Islam dan umat Islam. Semua definisi keganasan hanya tertumpu kepada orang Islam.
“Dari situ, masyarakat dunia mempunyai perasaan tidak baik terhadap umat Islam, dan menganggap mereka berdepan pengganas yang berfikir untuk membunuh orang bukan Islam,” katanya ketika berucap pada Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia 2024, di sini, hari ini.
Persidangan sehari iti dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Liga Dunia Muslim (Muslim World League), Arab Saudi (Rabitah al-Alam al-Islami)
Mohd Asri menggesa pemimpin pelbagai agama supaya tidak mempercayai dakwaan media Barat, sebaliknya menghayati sendiri kandungan al-Quran dan sumbangan kitab suci Islam itu kepada masyarakat.
“Lihat apa yang al-Quran nyatakan. Pergilah kepada sejarah kegemilangan kerajaan Islam atau khalifah, dan lihat apa yang Islam sudah lakukan kepada masyarakat.
“Anda akan temui betapa hebatnya apa yang Islam lakukan… apa yang berlaku ketika zaman (pemerintahan Islam) di Baghdad dan Andalusia.
“Jadi, kita tahu apa yang kita hadapi hari ini adalah persepsi buruk yang ditanamkan ke dalam minda kita, dan kita tidak akan bergerak ke hadapan dengan hidup aman sehinggalah kita membuang persepsi buruk terhadap Islam serta umatnya,” katanya.
