PN puas hati kelayakan Khairul Azhari

HULU SELANGOR 28 April – Perikatan Nasional (PN) berpuas hati serta yakin dengan pencapaian, rekod prestasi dan kelayakan dimiliki calonnya, Khairul Azhari Saut, yang bertanding bagi merebut kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata BERSATU teguh menyokong, malah sudah melakukan pengesahan ketat kelayakan Khairul Azhari dan mendapati calonnya itu sangat berkelayakan.

“Tidak perlulah calon kena ‘menggantung sarjananya’ ketika berkempen kerana parti (BERSATU) sudah membuat saringan cukup ketat.

“Sijil sedemikian memang ada dikeluarkan banyak universiti sama ada universiti tempatan dan antarabangsa yang ditawarkan kepada mereka yang mempunyai pengalaman bekerja sekian lama dan ingin menyambung pengajian dalam bidang pengkhususan tertentu melalui diploma atau sarjana eksekutif.

Jadi jelas calon tiada sebarang niat berbohong dan dalam tapisan dibuat, kita berpuas hati beliau seorang berkelayakan menimba ilmu dalam bidang tertentu dan ia satu perkara baik kerana sentiasa ingin menimba ilmu itu satu amalan biasa (menawarkan sarjana eksekutif) dibuat semua universiti,” katanya selepas selesai Ceramah Kelompok PN malam tadi.

Mohamed Azmin juga menasihatkan pengundi tidak terperangkap dengan isu yang digembar-gembur lawan dan mereka tidak akan terima walaupun berulang kali diberi penjelasan.

“Pihak lawan tiada isu lain berbanding PN yang mempunyai pelbagai isu berkaitan rakyat, jadi pengundi tidak harus terperangkap dan harapan kita, PN mahu mempersembahkan wakil yang dapat memberi khidmat dan bakti cemerlang kepada pengundi.

“Selain itu, kita berhasrat mahu menjadi wakil pembangkang yang efektif supaya peranan ‘semak dan imbang’ itu dapat disuburkan danitu bagus untuk rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) melalui DAP menang PRK ini. Mohamed Azmin berkata, pihak yang menentukan kemenangan ialah pengundi Kuala Kubu Bharu.

“Apa sedang dilakukan oleh parti yang bertanding, kita turun ke bawah dan memberi penjelasan dan meyakinkan pengundi mengenai dasar dan perjuangan parti masing-masing dan pengundi membuat pilihan mereka.

“Saya yakin pengundi hari ini cukup matang terutama kalangan anak muda yang mempunyai akses kepada maklumat melalui internet dan sebagainya, di situ mereka boleh membuat penilaian dan apa dilakukan dalam ceramah hanya memberi maklumat tambahan dan rakyat menentukan siapa pilihannya,” katanya.

Beliau berkata,  pandangan Dr Mahathir wajar dihormati tetapi dalam situasi semasa parti perlu berada di lapangan dan tidak boleh ‘disconnect’ atau terpisah dengan sentimen dan aspirasi rakyat.

“Bagaimana hebat sesebuah parti, mereka kena turun ke akar umbi bertemu rakyat dan memberi penjelasan dan perkara ini kita sedang dilakukan kerana kita mengharapkan mereka memberi sokongan,” katanya.

Dr Mahathir semalam meramalkan DAP akan menang PRK Kuala Kubu Baharu, kerana undi pengundi Melayu berpecah akibat kemunculan parti-parti serpihan Melayu memecahkan undi pengundi Melayu.

“Jumlah pengundi di situ lebih ramai Melayu daripada Cina tetapi Melayu berpecah. Cina bersatu. Jadi kemungkinan ialah DAP menang,” katanya kepada pemberita di rumah terbuka Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

DUN Kuala Kubu Baharu merupakan kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk 46%, pengundi Cina 30%, pengundi India 18%, dan lain-lain 5%.

Sementara itu, dalam ceramahnya, Khairul Azhari menjelaskan mengenai kontroversi latar belakang pendidikannya dengan menyifatkan pertikaian yang ditimbulkan itu sebagai ‘ujian’ sebagai calon bertanding.

“Hari ini, saya diserang secara peribadi berhubung kelayakan akademik saya. Saya tidak kisah kerana saya tidak berbohong dan sijil yang saya serahkan bukan dari Sri Lanka ke Vietnam.

“Sijil yang saya dapat adalah dari Malaysia sendiri, dari Universiti Malaysia Pahang, mereka boleh hubungi universiti untuk pengesahan.

“Apa yang saya hadapi sekarang ini hanyalah ujian buat saya, jadi kita tidak boleh salahkan mereka kerana menguji saya sebelum pilihan raya ini, macam-macam halangan akan berlaku,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment