Ambil tindakan tegas isu kalimah Allah

JOHOR BAHRU 19 Mac – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu kalimah Allah bagi memastikan isu seperti itu tidak berulang lagi.

Titah baginda, kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam.

“Berkenaan isu baru-baru ini, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas mengenai isu terbabit dan memastikannya tidak akan berulang lagi.

Isu ini tidak boleh dipandang remeh, saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara,” titah baginda dalam akaun Facebook hari ini.

Terdahulu pada 13 Mac, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna, menyebabkan polemik berterusan membabitkan Pemuda UMNO yang menggesa supaya rangkaian KK Mart diboikot.

MCA dan DAP pula mengkritik tindakan itu yang disifatkan terlalu agresif.

Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu dilaporkan berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal manakala pengendali

rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah berkata, siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah sudah bermula dan bertumpu kepada vendor atau pengedar produk berkenaan ke pasaran.

Nnn

Related posts

Leave a Comment