KUALA LUMPUR 19 Mac – Tempoh menunggu menunaikan haji dijangka dapat dipendekkan pada masa akan datang, apabila kerajaan Arab Saudi meningkatkan jumlah jemaah kepada lima juta orang menjelang 2030 berbanding dua juta pada waktu ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, bagaimanapun berkata,, ia juga bergantung keputusan pihak Kerajaan Arab Saudi meluluskan kuota haji tahunan untuk setiap negara termasuk Malaysia.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Kuota rasmi negara pada musim haji 1445H/2024 adalah 31,600 orang jemaah dan kerajaan sudah membuat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah itu berdasarkan perangkaan penduduk terkini negara.
“Kerajaan turut memohon kuota tambahan setiap tahun, namun permohonan kajian semula kuota tahunan dan pemberian kuota tambahan tertakluk kepada keputusan Kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan wakil rakyat yang sama, , Zulkifli berkata, sehingga kini sembilan bakal haji kategori B40 dan 50 bakal haji kategori M40 sudah membuat bayaran penuh manakala 221 lagi bersetuju menerima sebahagian sahaja daripada Bantuan Kewangan Haji.
“Jumlah keseluruhan jemaah haji yang menolak tawaran bantuan kewangan haji akan diketahui selepas selesai semua bakal haji menjawab tawaran tunai haji,” katanya.
Mengenai subsidi haji, beliau berkata, dasar klasifikasi pendapatan bagi jemaah haji terpilih mengikut kategori B40, M40 dan T20 adalah berasaskan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan pangkalan data sedia ada.
Tabung Haji (TH) juga mengambil maklum usaha kerajaan membina Pangkalan Data Utama (PADU) yang menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah dalam usaha menyalurkan subsidi secara adil dan bersasar.
Nnnn
