KUALA LUMPUR 9 Mac – Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) 2024 di sini hari ini meluluskan 20 resolusi yang mengetengahkan tema ‘Membina Masa Depan Bermaruah’, kata Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, antaranya ialah memperkukuh ekosistem pendidikan, memperkasakan perlindungan sosial, memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti anggota PN serta memperkasakan penyusunan strategi dan gerak kerja parti.
“Di dalam konvensyen ini, banyak perkara dapat kita bincang secara lebih mendalam dan menyentuh semua aspek berkaitan parti, pentabiran kerajaan, peranan wakil rakyat dari peringkat Parlimen hingga DUN dan Dewan Negara.
“Ramai yang mengambil bahagian. Kita yakin konvensyen ini dapat memperkukuh kerjasama kita dalam PN dan apa yang kita putuskan dalam resolusi pada hari ini akan diiktiraf sebagai asas serta teras dalam PN,” katanya.
Berikut resolusi yang dibentangkan pada konvensyen yang disertai anggota PN yang merangkumi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan ADUN.
1.Menegakkan Perlembagaan Persekutuan, menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman.
2.Menjunjung prinsip federalisme yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan terus menghormati hak negeri-negeri serta memperkukuh hubungan persaudaraan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan sentiasa menghormati Perjanjian Malaysia 1963.
3.Memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan, memperkasa sistem perundangan Islam dan pada masa yang sama menghormati hak penganut agama lain.
4.Memperkasa masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan golongan, termasuk Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Orang Asal, warga emas, wanita, belia, kanak-kanak dan warga OKU.
5.Merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bertunjangkan industri masa hadapan dengan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk menarik pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi di samping mempertingkatkan hubungan perdagangan antarabangsa serta mengoptimumkan potensi sosioekonomi di setiap negeri bagi mengurangkan jurang pembangunan serta memastikan pengagihan ekonomi secara adil dan saksama kepada rakyat demi kemakmuran bersama.
6.Memberi tumpuan kepada usaha peduli rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup dengan meningkatkan pendapatan, memastikan barangan keperluan asas tersedia dan mampu diperoleh serta meningkatkan akses kepada perumahan dan perkhidmatan kesihatan agar rakyat mendapat taraf kehidupan yang wajar.
7.Memperkaya sumber pengeluaran agromakanan dan memperkukuh rantaian bekalan dengan penggunaan teknologi dan automasi bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan untuk rakyat pada harga yang berpatutan.
8.Memperkasa perlindungan sosial rakyat menerusi penubuhan agensi sehenti tunggal bagi menyelaras pemberian bantuan kebajikan, penyediaan peluang kerjaya, peningkatan kemahiran, serta pembasmian kemiskinan secara menyeluruh.
9.Memperkukuh ekosistem pendidikan bermula daripada prasekolah sehingga ke pasaran pekerjaan bagi memastikan setiap peringkat masyarakat di bandar dan luar bandar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti termasuk dengan memperkasakan pendigitalan pendidikan serta membina jaringan program TVET yang berdaya saing bagi melahirkan tenaga kerja berpendapatan tinggi.
10.Memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera dalam semua bidang terutama ekonomi, pendidikan, keusahawanan dan sosial dengan menetapkan sasaran keberhasilan yang jelas dan intervensi strategik yang berkesan serta mewujudkan ekosistem sokongan yang dapat melahirkan Bumiputera berdaya saing.
11.Meningkatkan kecekapan tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan institusi-institusi Kerajaan tanpa campur tangan politik dan salah guna kuasa.
12.Membela kebajikan penjawat awam dan memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab secara profesional, berintegriti dan cekap.
13.Menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan media, termasuk media sosial, tanpa sebarang intimidasi daripada mana-mana pihak berkuasa.
14.Memelihara khazanah negara dan melindungi alam sekitar termasuk hutan, sumber mineral dan sungai daripada ancaman kerakusan bagi mengelakkan ketirisan hasil dan kejadian bencana dengan mendokong inisiatif pembangunan lestari dan tenaga boleh baharu dalam mendepani perubahan iklim global.
15.Memartabatkan belia sebagai pemangkin pembangunan negara dalam aspek ekonomi, sosial dan politik dengan memastikan penglibatan mereka secara inklusif dalam agenda masa depan Malaysia, termasuk melalui penyediaan peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta program pembangunan potensi bagi membolehkan mereka berdaya saing di peringkat global.
16.Mempergiat penglibatan wanita dalam pembangunan negara secara optimum, termasuk dalam sektor ekonomi dan sosial, dengan menyediakan ekosistem sokongan yang komprehensif berdasarkan keperluan individu serta memelihara kesejahteraan wanita dalam memperkasa masyarakat dan negara.
17.Memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara luar termasuk dalam aspek kedaulatan, keselamatan, perdagangan, ekonomi dan sosio-budaya di samping mempergiat penglibatan Malaysia dalam menangani isu global di peringkat antarabangsa termasuk mendokong penuh perjuangan rakyat Palestin serta penubuhan negara Palestin merdeka dan berdaulat yang ditentukan sendiri oleh rakyatnya.
18.Mengarusperdanakan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil bertunjangkan perkhidmatan kepada rakyat yang telah menjadi fitrah perjuangan PN serta memastikan teras perjuangan ini dihayati, dijunjung dan dipertahankan oleh kepimpinan serta seluruh akar umbi parti.
19.Memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti anggota PN dan memperkasa kesatuan dalam setiap parti serta meningkatkan kerjasama strategik di antara wakil rakyat PN di seluruh negara untuk terus istiqamah membela kesejahteraan rakyat berpaksikan asas perjuangan PN.
20.Memperkasa penyusunan strategi dan gerak kerja parti, khususnya yang menyentuh kesejahteraan rakyat, serta mempersiapkan calon-calon berpotensi yang berwibawa, bersih, berintegriti, bebas rasuah dan setia kepada perjuangan parti sebagai persiapan menghadapi PRU16.
