ANKARA: Penyelesaian konflik Israel-Palestin selama ini terhalang disebabkan tindakan Israel merampas hak orang lain menggunakan nama ‘peneroka’ untuk menceroboh dan mencuri tanah milik penduduk Palestin.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berkata ‘peneroka’ Israel adalah antara punca utama yang menghalang penyelesaian konflik Israel-Palestin selama ini.
“Salah satu halangan terbesar ialah tindakan merampas hak orang lain menggunakan nama ‘peneroka'” katanya pada sidang media bersama sempena lawatan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Erdogan, yang lantang memperjuangkan hak Palestin, turut menggesa pemberian akses tanpa had ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sepanjang bulan Ramadan, yang dijangka bermula pada 10 atau 11 Mac.
“Tuntutan ahli politik radikal Israel bagi mengehadkan kemasukan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa sama sekali tidak masuk akal dan padahnya sudah tentu serius,” katanya.
Semalam, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengeluarkan kenyataan akan mengehadkan kemasukan jemaah ke pekarangan Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan, sama seperti tahun lalu, tanpa menyatakan jumlah tertentu.
Abbas pula berkata, pelampau Israel menyedari bahawa umat Islam mahu memulakan ibadah puasa pada bulan of Ramadan dan sudah menjadi kebiasaan mereka untuk menceroboh Masjid Al-Aqsa dan melakukan serangan.
Israel berkata, umat Islam yang dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa akan dihadkan bermula minggu pertama Ramadan, seperti tahun-tahun sebelumnya, dengan penilaian semasa dilakukan setiap minggu.
Setiap tahun, puluhan ribu umat Islam menunaikan solat pada bulan Ramadan di pekarangan Masjid Al-Aqsa, yang dikenali sebagai Temple Mount oleh penganut Yahudi, yang dianggap tempat suci baik oleh umat Islam mahupun Yahudi.
Amerika Syarikat sebelum ini menegaskan kepada Israel supaya jangan memburukkan lagi keadaan dengan menyekat akses umat Islam ke Masjid Al-Aqsa.
Nnnn
