Suami isteri maut di lebuh raya

SLIM RIVER 14 Dis. –  Pasangan suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta lalu terbakar di Kilometer 363.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Nazrul, 41, dan isterinya dikenali sebagai Norwahidah, 34.
Menurutnya, dalam kemalangan kira-kira pukult 1 tengah hari itu, Mohamad Nazrul maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Altis dari arah utara menghala ke Johor, telah hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan dan terlanggar besi pembahagi tengah, menyebabkannya melintang di tengah jalan.
“Pada masa yang sama, motosikal tersebut tidak sempat mengelak dan terlanggar pintu belakang kiri kereta tersebut. Kedua-dua kenderaan telah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sulizmie Affendy, pemandu kereta, lelaki berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Related posts

Leave a Comment