KUALA LUMPUR 29 Feb. – Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghubungi Wan Saiful Wan Jan selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu membuat pendedahan mengenai pujukan supaya menyokong Perdana Menteri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki ketika mengesahkan demikian berkata, beliau sendiri membuat pemeriksaan berhubung dakwaan itu tetapi mendapati tiada pegawainya yang bertindak sedemikian.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa, individu yang menghubungi Wan Saiful itu adalah pihak yang mengaku pegawai SPRM.
“Saya sudah ‘check’ dengan pegawai saya, tiada pegawai SPRM yang menghubunginya semalam. Ia mungkin orang lain yang mengatakan dia adalah daripada SPRM,” katanya selepas Majlis Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024, yang dirasmikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Azam berkata, Wan Saiful seharusnya bertemu SPRM atau membuat laporan di balai polis berhampiran supaya siasatan dapat dijalankan dengan terperinci berdasarkan maklumat yang ada pada ahli politik itu.
Semalam , Wan Saiful ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mendakwa diugut supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau turut mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya menegaskan SPRM tidak perlu merujuk kepada beliau jika ada laporan atau dakwaan rasuah atau salah guna kuasa membabitkan Kabinetnya.
“Kalau ada (kes), saya katakan jangan tanya saya, persilakan ambil tindakan.
Orang yang berkenaan (terbabit rasuah dan salah guna kuasa) wajib digugurkan, barulah negara ini selamat,” katanya
Anwar berkata sudah lebih setahun Kerajaan Perpaduan bawah pimpinan beliau mentadbir negara, namun tiada yang dikenakan dakwaan berkaitan rasuah mahupun salah guna kuasa.
Katanya, setakat ini walaupun kerajaan diserang dan pelbagai pertanyaan dikemukakan di dalam serta luar Parlimen, tiada bukti pembabitan menteri dan timbalan menteri berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Anwar berkata dengan perkembangan itu beliau memberi penghormatan kepada Kabinetnya yang bersih.
Dalam masa yang sama, Anwar memberi peringatan keras supaya SPRM tidak mengecualikan mana- mana siasatan ke atas kepimpinan yang ada sekarang berkaitan rasuah.
Katanya, SPRM juga boleh memantau setiap tender atau keputusan yang sudah dibuat kerajaan.
Sementara itu, beliau berkata, ketika ini ramai dalam kalangan elit, sama ada orang politik, korporat atau pun bekas pengurusan negara yang tidak senang dengan wacana mengenai rasuah kerana mereka sudah bergelumang dengannya.
Malah, katanya mereka yang terpalit dengan rasuah akan melawan dengan ‘ kencang’ dan kuat.
“Kalau di Parlimen melalak tak tentu arah, sampai ada seorang Ahli Parlimen ini marah sangat kerana didakwa hingga dia kata ini Perdana Menteri pun korup. Tapi apa buktinya, apa laporannya. Tidak ada dan tidak mengapalah kerana saya dan rakan-rakan (Kabinet) boleh jawab (tuduhan),” katanya.
Anwar menegaskan apa yang penting, semua orang perlu sedar dan memberi dokongan yang penuh kepada SPRM dan kerajaan dalam usaha melawan rasuah.
Nnnn
