PN sifatkan kejadian ‘luar biasa’

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menyifatkan slot yang diberikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini sebagai satu kejadian yang ‘luar biasa’.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia sesuatu yang luar biasa kerana Usul Menjunjung Kasih kepada Yang di-Pertuan Agong telah dibentangkan dan disokong.

“Kami berada dalam dewan di mana Speaker buat satu keputusan untuk membenarkan Perdana Menteri keluarkan satu kenyataan Penerangan Menteri. Ini agak luar biasa kerana Usul Menjunjung Kasih kepada Yang di-Pertuan Agong telah dibentangkan tadi dan disokong.

“Oleh sebab itu, apa yang berlaku hari ini agak luar biasa. Macam mana ada satu slot termasuk di tengah-tengah (perbahasan)…. mereka menggunakan majoriti… boleh buat apa yang suka (hati) sehingga tak ikut peraturan,” ujar Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian pada sidang media bersama wakil rakyat PN yang keluar Dewan selepas tidak berpuas hati kerana mendakwa Perdana Menteri, tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Anwar dibenarkan menyampaikan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, p Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainudin berkata, tindakan Anwar memberikan penerangan tersebut di tengah-tengah sesi Perbahasan Titah Diraja adalah menyalahgunakan ‘sokongan majoriti’ yang dimiliki oleh kerajaan.

“Apa yang saya telah saya bangkitkan tadi (di Dewan Rakyat) untuk menjelaskan kerajaan jangan menggunakan kuasa majoriti untuk buat sesuatu sewenang-wenangnya.

“Kalau kita dengar Titah Diraja, kita mesti ikut perundangan dan proses yang ada. Sepatutnya YB Perdana Menteri tunggu, sampai masa, cakaplah. Dia nak (cakap) dua atau tiga jam.. satu hari suntuk, kita boleh dengar.

“Apabila melakukan sesuatu di luar Peraturan Mesyuarat… ini adalah sesuatu penyalahgunaan kuasa yang ada. Sebab itu kita tidak setuju. Rakyat di luar sana beranggapan pembangkang hanya biarkan saja apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini.

“Kami nak buktikan segala apa yang mereka lakukan itu tidak ikut peraturan dan kita akan bangkang,” katanya dalam sidang media itu.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang bangkit membantah cadangan Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) dan 14(1)(j) yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment