Wakil rakyat pembangkang keluar dewan

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Persidangan Dewan Rakyat kecoh pada hari pertama apabila ahli Parlimen pembangkang keluar dewan sebaik sesi sebelah petang bermula hari ini.

Tindakan protes itu selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul berkeras membenarkan slot diberikan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bagi menyampaikan ucapan junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

Johari memberi kebenaran selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bangkit mencadangkan ucapan oleh Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(j) Dewan Rakyat.

Rata-rata pembangkang mempersoalkan keputusan Yang Dipertua itu dengan menyifatkan kebenaran diberikan kepada Perdana Menteri tidak mengikut aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan mengakui sesi penerangan menteri disenaraikan hari ini tanpa adanya sebarang notis diberikan.

“Kami diberitahu Perdana Menteri nak ucapkan junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong lepas (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim). Saya rasa ini tidak bertepatan dengan aturan.

“Pada minggu ini dan minggu depan, perbahasan junjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong oleh pembangkang dan kerajaan,” katanya sambil mempersoal mengapa anggota pentadbiran dan Anwar tidak mengucapkan perkara itu semasa minggu ketiga yang akan dijawab menteri.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin pula berkata, tidak pernah berlaku sebelum ini seorang Perdana Menteri menyampaikan ucapan sebegitu apabila perbahasan titah baginda sudah dimulakan dalam Dewan.

Hamzah menegaskan beliau dan Ahli Parlimen pembangkang lain berpendapat ucapan tahniah oleh Perdana Menteri itu dibuat bukan pada waktu sesuai.

“Pencadang dah cakap semua, tiba-tiba tengah-tengah berhenti (Perdana Menteri) nak cakap terima kasih pasal apa. Jangan buat di luar sana nampak kita bangkang sahaja. (Pembangkang) bukan nak bangkang, tetapi ikut peraturan yang ada. Esok (Ahli Parlimen) Tambun nak gulung habis, tak apa,” katanya.

Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang turut bangkit menyifatkan keputusan dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat bertentangan peraturan mesyuarat.

“Kita bukan menentang apa yang nak diujarkan Perdana Menteri, tetapi dari segi peraturan mesyuarat nampak ia bertentangan dengan peraturan mesyuarat Parlimen 14 (1) dan 14 (2),” katanya.

Melihat kekalutan itu, Johari menjelaskan apa yang mahu diucapkan Anwar adalah ucapan terima kasih dan ia terkandung dalam peraturan 14 (1)(J).

Selepas keadaan bertambah kecoh, Johari memutuskan untuk melakukan undian suara sebelum keputusan mendapati lebih ramai Ahli Parlimen menyatakan sokongan untuk membenarkan Anwar menzahirkan ucapan terima kasih itu.

 

(Foto fb Shahidan Kassim)

Related posts

Leave a Comment