KUALA LUMPUR 30 Jan. – “Letak jawatan jika nak jadi anak jantan,”. Itu saranan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris terhadap enam ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Khusus kepada Suhaili Abdul Rahman, Razali mencabar wakil rakyat itu melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Labuan berbanding ‘bising’ meminta parti untuk memecatnya.
“Jika benar nak jadi anak jantan, umumkan pengunduran sebagai Ahli Parlimen… kami sudah tidak mahukan khidmat beliau (Suhaili )selepas dia menyokong Perdana Menteri.
“Letak saja jawatan, kenapa takut,” katanya ketika mengulas kenyataan Suhaili yang mencabar Bersatu memecatnya, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Labuan itu yang digantung keahlian enam tahun oleh Bersatu mencabar parti itu memecat semua Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Saya nasihatkan kepada pucuk pimpinan Bersatu, kalau rasa hebat sangat ..pecatlah kami yang dah isytihar sokong PMX (Perdana Menteri Kesepuluh).
“Nak suruh kosongkan kerusi? Ini memang saya tidak layan lah, tunggu saja PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” katanya kepada BH.
Selain Suhaili, lima Ahli Parlimen lain adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Dalam pada itu, Razali berkata pihaknya percaya Suhaili bersama lima lagi Ahli Parlimen yang sudah menyatakan sokongan kepada Anwar, tidak akan berani untuk melepaskan jawatan kerana masing-masing bimbang kehilangan kerusi sekiranya diadakan pilihan raya kecil (PRK).
Di pihak Bersatu , katanya, parti itu sememangnya bersedia sekiranya enam kerusi berkenaan dikosongkan dan diadakan semula pilihan raya.
“Kami kini dalam proses untuk merealisasikan pindaan perlembagaan parti… tunggu saja dan pindaan ini akan terpakai kepada enam Ahli Parlimen itu kerana mereka mendakwa masih Ahli Bersatu,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata parti itu mahu meminda perlembagaan parti dalam masa terdekat menerusi Perhimpunan Agung Khas bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang mengkhianati parti.
Pindaan itu bagi memastikan ahli parti yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang, sekali gus membolehkan PRK diadakan.
Nnn
