Kenyataan Koo Ham satu kekhilafan – Anthony Loke

PUTRAJAYA 29 Dis. – Kenyataan Ngeh Koo Ham yang mencadangkan pelantikan pakar perundangan bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah merupakan satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam kenyataannya berkata, Jawatankuasa tersebut ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Ia bertujuan untuk menasihati Majlis tersebut dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas Mahkamah Syariah.

“Sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa,” katanya.

Beliau menjelaskan, penubuhan Jawatankuasa Khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan amat sedar bahawa kenyataan Ahli Parlimen Beruas itu akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI.

“Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen,” katanya.

DAP katanya komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama.

“Marilah kita mengakhiri tahun 2023 ini dengan semangat yang harmoni dan menyumbang kepada Malaysia yang makmur dan sejahtera pada tahun 2024,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment