Cadangan Koo Ham tidak berasas

PUTRAJAYA 29 Dis. – Cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam (Jawatankuasa Khas) adalah tidak berasas.

Justeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata semua pihak diseru supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam.

Katanya, dalam perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang membabitkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa merujuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Katanya, MKI dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri.

“Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu jawatankuasa khas berkenaan.

Koo Ham berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Mohd Na’im berkata, Jawatankuasa Khas sudah ditubuhkan dan Mesyuarat pertama berlangsung pada 5 Disember lalu.

Katanya, Jawatankuasa Khas itu ditubuhkan bertujuan untuk mengkaji isu yang berkaitan dengan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatankuasa Khas ini dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim NegaraTun Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai oleh anggota lain yang terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Pejabat Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.

“Kesemua anggota yang dilantik masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah dan berkelayakan membuat kajian,” katanya.

Tambahnya, kesemua anggota akan memberi pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu yang berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini.

Jawatankuasa Khas 11 anggota seperti berikut:

(i) YABhg. Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi, Mantan Ketua Hakim Negara sebagai Pengerusi;

(ii) YBhg. Tan Sri Dato’ Setia Mohd. Zawawi bin Salleh, Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan;

(iii) YAD Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Anggota Majlis Agama Islam Selangor;

(iv) YAA Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Negeri Melaka;

(v) YBhg. Dato’ Anas bin Ahmad Zakie, Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara;

(vi) YBrs. Tuan Shamsul bin Bolhassan, TImbalan Ketua Bahagian Guaman I, Jabatan Peguam Negara;

YBrs. Prof. Dr. Farid Sufian bin Shuaib, Dekan/Profesor, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM);

(viii) YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi bin Hashim @ Wan Husain, Profesor Madya, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM);

(ix) YBrs. Puan Azirul Liza binti Abdullah, Ketua Unit I, Unit Penyelidikan Perlembagaan, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Peguam Negara;

(x) YBrs. Tuan Musa bin Awang, Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM); dan

(xi) YBrs. Dr. Zulqarnain bin Lukman, Peguambela,

Peguamcara & Peguam Syarie.

Related posts

Leave a Comment