PEMILIHAN Menteri Besar (MB) Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam kalangan Menteri Besar.
Cuma penampilan MB Terengganu kali ini pada PRK bukannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) seperti melibatkan MB lain sama ada bertanding serentak dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sebaliknya.
Ini adalah penampilan pertama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu di kerusi parlimen bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada PRK, 2 Disember depan.
Penyertaan Dr Sam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang bukan bermakna parti itu ketandusan calon untuk diketengahkan sebaliknya melengkapkan penampilan MB mewakili kawasan Utara, Selatan, pantai Barat dan pantai Timur.
Seperti kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, pemilihan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas bukan sahaja mampu membawa suara pengundi di Parlimen Kemaman semata-mata tetapi membawa agenda Terengganu di peringkat Persekutuan sekiranya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen kelak.
Ketika ini ada tiga MB dan Ketua Menteri (KM), semuanya dari Pakatan Harapan (PH) yang turut mewakili Parlimen iaitu MB Negeri Sembilan Aminuddin Harun (Port Dickson), MB Selangor Amirudin Shari (Gombak) dan KM Pulau Pinang Chow Kon Yeow (Batu Kawan).
Selain MB dan KM, sudah menjadi amalan beberapa pemimpin politik yang mewakili Parlimen dan DUN serentak, tetapi bilangannya amat terhad. Faktornya sama ada ketiadaan calon yang mencukupi dan benar-benar layak atau atas sebab strategik.
Sebelum ini bertanding dua kerusi menjadi amalan biasa kepada DAP terutama melibatkan pemimpinnya disebabkan tidak mempunyai calon yang mencukupi. Namun kini keadaan sudah berubah, dan kerusi ‘berganda’ bagi DAP amat terhad.
Sekadar contoh pemilik kerusi berganda termasuklah Lim Guan Eng (Bagan dan DUN Air Putih); Mohamad Hassan (Rembau dan DUN Rantau); Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan dan DUN Lamag); Mohd Shafie Apdal (Semporna dan DUN Senallang) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian dan DUN Cheka).
Justeru penyertaan Dr Sam menarik perhatian apatah lagi beliau berhadapan dengan calon langsung BN yang pada kebiasaannya diwakili pemimpin UMNO bahagian atau negeri.
Menurut , Tuan Ibrahim, pemilihan MB Terengganu itu berdasarkan kriteria-kriteria ditetapkan selain mengambil kira kedudukannya yang menjadi pilihan pertama pengundi di Parlimen Kemaman berdasarkan kajian yang dilakukan.
“Kita ada lima calon yang diangkat (melepasi tapisan) dan kita menilai calon-calon tersebut, cuma bila kita letak calon (terdapat) banyak faktor-faktor kita ambil kira (iaitu) bukan sahaja peluang untuk menang tetapi peranan besar yang beliau boleh mainkan.
“Insya-Allah, (yakin dengan pemilihan Ahmad Samsuri) kerana berdasarkan maklumat yang dibuat di bawah membabitkan tiga kategori di Kemaman ini, mereka meletakkan Dr Ahmad Samsuri sebagai pilihan pertama,” katanya selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon Pas PRK Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, Chukai malam tadi.
Tuan Ibrahim berkata, pemilihan Ahmad Samsuri juga dilihat dapat memudahkan pentadbiran negeri dan perkara-perkara yang membabitkan negeri yang boleh dibawa ke peringkat Persekutuan.
“Dengan mengetengahkan beliau (Ahmad Samsuri) daripada sudut urusan pentadbiran pun saya rasa beliau boleh jawab secara langsung dalam Parlimen, Insya-Allah, mudah-mudahan beliau berjaya,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman Terengganu pada 2 Disember ini, manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.
