Sasaran 70 % orang dewasa dapat vaksin

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden meletakkan sasaran baharu dengan 70 peratus orang dewasa di negara itu mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Langkah baharu bagi program imunisasi AS menjelang 4 Julai ini adalah selaras dengan perancangan pentadbiran kerajaan itu untuk memudahkan rakyatnya mendapatkan bekalan vaksin.

“Sasaran kita menjelang 4 Julai adalah untuk memastikan 70 peratus rakyat dewasa Amerika mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 160 juta rakyat Amerika divaksin sepenuhnya.

“Ini bermakna ia hampir kepada 100 juta dos suntikan, ada yang dos pertama ada juga dos kedua dalam tempoh 60 hari akan datang,” katanya pada sidang media di White House.

Katanya walaupun selepas 4 Julai rakyat negara itu akan tetap mendapatkan vaksin tetapi tidak ada sesiapa yang patut menunggu.

“Mari kita cuba untuk dapatkan 70 peratus dengan sekurang-kurangnya satu dos suntikan. Itu adalah satu lagi sasaran besar,” kata Biden.

Biden pada masa sama menggesa kerajaan negeri memastikan bekalan vaksin mudah diperoleh termasuk di farmasi di negara itu.

Beliau juga menyeru agar rakyat negara itu menerima suntikan vaksin secepat mungkin dan menyifatkannya sebagai keputusan hidup dan mati.

Setakat ini lebih 56 peratus rakyat AS sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin dengan lebih 105 juta orang sudah mendapat dua dos suntikan.

Related posts

Leave a Comment