Hiba Israel serang Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah

PUTRAJAYA 17 Nov. – Tindakan tentera Israel menyerang Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya yang terletak di selatan Gaza di Palestin, membuktikan operasi rejim zionis menyasarkan pembunuhan orang awam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, serangan itu  jelas mempamerkan sikap rejim Zionis yang cakap tak serupa bikin.

Dr Mahathir yang mengakui hiba dengan nasib pusat fisioterapi di Khan Younis yang musnah dalam siri serangan pada 7 November lalu, berkata, sebelum ini Israel sudah pun memaklumkan bahawa mereka tidak akan menyasarkan selatan Gaza.

Justeru, beliau melalui Facebooknya menempelak tindakan rejim zionis yang mengebom pusat fisioterapi berkenaan biarpun kawasan selatan Gaza tidak memberi sebarang ancaman kepada tentera Israel.

“Ia bukan lagi perang antara tentera, sebaliknya bertukar kepada genosid (pembunuhan beramai-ramai) oleh tentera Israel bagi menyingkirkan penduduk Palestin dari Gaza.

“Pengeboman hospital, kediaman dan kini pusat fisioterapi, membuktikan Israel menyasarkan kemudahan ini secara sengaja dan dengan niat.

“Justeru, apa yang kita boleh lakukan ketika ini adalah membantah dan berdoa supaya rakyat Palestin dihindarkan daripada kekejaman Israel.

“Sekutu Israel, terutama Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) terus membenar dan menyokong kebiadaban Israel,” katanya.

Mengulas mengenai nasib Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata,  ia cukup tragik lebih-lebih lagi apabila empat individu daripada lima keluarga Palestin yang berlindung di fasiliti berkenaan maut dalam serangan itu.

“Mereka berteduh di situ selepas rumah masing-masing musnah akibat serangan sebelumnya.

“Hospital ini sangat dekat di hati saya. Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yang turut dianggotai saya, terbabit secara langsung dalam pembinaannya sejak awal.

“PGPF bersama Humanitarian Care Malaysia, Muslim Care Malaysia, Media Prima Humanitarian Fund dan Persatuan Amal untuk Bantuan Palestin membantu membinanya dan beroperasi sejak 2019,” katanya.

Mahathir turut menyatakan beliau berkabung susulan insiden pengeboman, kemusnahan hospital dan pusat perlindungan lain di Gaza, sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment