Video Agus, Wahab konspirasi, Mr H didakwa ‘dalang’

BANGI 18 Nov. – Video perbualan lucah yang melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Dr Mohammad Agus Yusoff dan individu bernama Wahab didakwa disuai pinda dan disunting.

Dr Mohammad Agus dan Wahab membuat kesimpulan itu apabila tampil bersama malam ini pada sidang media bagi menjelaskan video tular yang didakwa rakaman perbualan mereka.

Pada sidang media itu, satu lagi ‘watak’ baharu muncul dikenali sebagai Mr H yang turut berkhidmat di dalam J-KOM yang didakwa mengarahkan Wahab membuat rakaman video berkenaan.

Agus yang mendakwa dirinya diperangkap mengakui rakaman berkenaan adalah tulen namun audio pada video itu disunting sebelum disebarkan.manakala Wahab pula menjelaskan tiada audio pada rakaman itu.

“Saya ingin katakan bahawa video itu suatu yang doctored, satu yang edited, saya yang diframe. Video itu edited. Saya pun tak tergamak nak tengok video,” jelas Agus yang meletak jawatan berkuat kuasa 4 Disember ini.

Katanya, video yang tular itu hanyalah sekadar panggilan biasa antara beliau dan individu bernama Wahab yang juga seorang pembantu pegawai di J-KOM.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan reputasinya susulan ada pihak yang tidak senang dengan beliau dan jawatan yang disandang dalam J-KOM.

Agus yang sudah membuat laporan polis mengenainya petang tadi di Kajang akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu.

“Kita telah belajar bagaimana seseorang itu dijatuhkan dengan tuduhan seksual dan ini berlaku kepada saya,” katanya.

Agus juga mengakui ada kekecewaan daripada rakan di J-KOM yang mengharapkan jabatan itu memainkan peranan yang lebih berkesan.

“Pelbagai kemarahan dilemparkan kepada saya, tetapi saya diam… ya saya diam biarpun saya ada alasan untuk memberitahu kekangan yang saya hadapi di J-KOM,” jelasnya.

Beliau juga berkata, sebelum ini ada menerima tawaran kerja di Indonesia dan akan melepaskan jawatan di J-KOM secara baik.

Namun, katanya, pada 13 November lalu dia dipanggil untuk bertemu seseorang di mana beliau ditunjukkan video perbualan lucahnya bersama Wahab.

“Saya diberi dua pilihan pada waktu itu sama ada meletakkan jawatan terus ataupun bercuti rehat sehingga tempoh tamat dan meletakkan jawatan. Saya ambil sikap untuk kompromi untuk jaga kesemua pihak tanpa saya bahas ketulenan video,” katanya.

Agus berkata, beliau membuat keputusan meletakkan jawatan kerana sudah merancang untuk berbuat demikian dan menerima tawaran kerja di tempat lain.

Katanya, walaupun kes berkenaan tidak menjejaskan tawaran kerja yang diterima, beliau tidak akan ke Indonesia sebaliknya akan berdepan kes ini sehingga selesai.

Terdahulu, satu klip video memaparkan perbualan jelik antara Agus dan Wahab tular ketika Ketua Pengarah J-KOM itu dilapor menyerahkan surat peletakan jawatannya yang berkuat kuasa 15 Disember.

Pelbagai spekulasi timbul termasuk ada mengaitkan video berkenaan sebagai antara sebab Agus melepaskan jawatan Ketua Pengarah J-KOM.

Bagaimanapun Agus ketika menafikan tindakannya menghantar surat peletakan jawatan itu berpunca daripada tekanan oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, Wahab atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33 yang baru bertugas bersama J-KOM mendakwa apa yang berlaku merupakan konspirasi daripada seseorang yang digelar sebagai Mr H.

Menurut Abdul Wahab dia telah merakam perbualan video dengan Agus tetapi isi perbualannya bukan seperti yang telah diubah suai dan menjadi tular di media sosial.

“Video yang saya rakam itu, video yang tidak mempunyai audio,” katanya yang baharu melaporkan diri sebagai Penolong Pegawai di J-KOM yang melaporkan diri pada 1 November lalu.

Dalam pada itu, Agus dan Wahab menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan manakala peguam yang dilantik akan melihat tindakan undang-undang yang boleh diambil.

Related posts

Leave a Comment