KUALA LUMPUR 7 Nov. – Mula menjawab soalan pertama dengan tenang di Dewan Rakyat hari ini, Anwar Ibrahim tiba-tiba berang dan bernada keras ketika menjawab soalan berikutnya apabila menyentuh akhbar Harakah Daily yang mengaitkan dirinya dengan bendera, Israel.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu sangat biadab dan tidak sepatutnya dibuat oleh sebuah lidah parti Islam itu kepada umum.
“Jangan Ketua Dewan Ulama guna Harakah mengaitkan saya dengan Israel, itu satu tuduhan biadab yang melanggar tatasusila.
“Fitnah yang guna serban tidak sah dan saya bantah sekeras-kerasnya kalau diulang saya akan ambil tindakan keras terhadap sesiapa yang menggunakan perkara itu,” katanya.
Beliau menyatakan rasa tidak senangnya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pada Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT).
Anwar dalam jawapannya yang berkaitan pendirian terhadap Hamas merujuk laporan Harakah Daily pada Isnin lalu bertajuk ‘Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin? – yang memaparkan gambar beliau dengan bendera Israel di belakangnya.
Menurut Anwar, tuduhan tersebut tidak mencerminkan kerja-kerja yang telah dilakukan beliau dengan berjumpa beberapa pemimin dunia antaranya negara-negara Arab untuk sama-sama menolak kekejaman terhadap Palestin di Gaza.
“Ini yang saya sebut membina mahligai atas pusara orang mati dan kita kerja setiap hari bawa kes ini minta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adakan sidang (tergempar), bawa negara China, Rusia, Brazil, Ireland, Bolivia bincang dengan Jepun, Belanda.
“Minggu ini dengan Naib Presiden China, tapi semewenang-wenang beri hukuman biadap dan kurang ajar,” tegas Anwar lagi.
Beliau mengingatkan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin adalah jelas dan pihak berkenaan tidak bermain bermain politik.
Sementara itu, Datuk Ronald Kiandee (PN Beluran) bangun bertanyakan sama ada perkataan kurang ajar dan biadab boleh digunakan di dalam Dewan Rakyat..
Anwar lantas menjawab boleh jika Beluran merujuk dan membaca laporan Harakah berkaitan isu dibangkitkan.
Dalam pada itu Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) bangun menjelaskan bahawa laporan akhbar kebenaan bukan satu tuduhan tapi merupakan satu persoalan.
“Saya ucap terima kasih PM baca Harakah, tapi ini satu persoalan dan bukannya satu tuduhan. Ia sebagaimana persoalan lain yang dijawab oleh Ahli Parlimen Tambun malah di sana (kerajaan) dan di sini (pembangkang) sama menyokong Palestin,” katanya yang juga Ketua Dewan Ulamak Pas.
Beliau turut membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 dengan meminta Perdana Menteri menarik semula perkataan biadab dan kurang ajar yang dakwanya ditujukan kepada Dewan Ulama Pas.
