“Semalam seorang daripada kita tumbang”

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Ahli Parlimen yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan diminta berbuat demikian selewat-lewatnya Selasa depan, 14 November.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul ketika mengingatkan demikian berkata, semalam seorang ahli Parlimen ‘tumbang’ dan dimasukkan ke hospital.

Katanya, setakat hari ini, seramai 196 ahli Dewan Rakyat dan lima Senator bertaraf anggota pentadbiran sudah menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kepada Yang Berhormat (YB) yang masih belum menjalani pemeriksaan kesihatan, saya beri lanjutan hingga Selasa depan iaitu 14 November.

“Saya amat memohon dan meminta pemeriksaan dibuat kerana saya difahamkan semalam, seorang daripada kita telah tumbang dan masuk hospital,” katanya sebelum bermula sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen boleh menghubungi doktor kesihatan Parlimen Malaysia berkenaan maklumat terperinci mengenai pemeriksaan kesihatan ini

Sebelum ini, setakat 2 Oktober, Johari memaklumkan hanya 54 daripada 222 Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan dan jumlah itu adalah terlalu kecil.

Berikutan itu beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan agar melaksanakannya dengan segera sebelum tarikh akhir untuk pemeriksaan kesihatan ketika itu  pada 31 Oktober.

Terdahulu pada September, Johari dilapor berkata, semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan susulan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya pemeriksaan kesihatan secara tetap dibuat demi memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan baik.

Johari berkata, sepanjang 15 tahun bergelar Ahli Parlimen,  beliau secara peribadi melihat 11 Ahli Parlimen ‘tumbang’ dan meminta semua Ahli Parlimen hadir ke klinik kesihatan di Parlimen atau fasiliti swasta untuk menjalani pemeriksaan seperti diperincikan dalam surat yang dihantar kepada mereka.

Related posts

Leave a Comment