OKU mangsa pukul dapat tawaran umrah

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. (Andalusia) menawarkan pakej umrah percuma kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) mental Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Jumaat lalu.

Tawaran itu dibuat oleh Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin kepada isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44 melalui panggilan video semalam.

Ibrahim menyatakan teramat simpati dengan kejadian yang berlaku terhadap keluarga Ahmad Nor dan menawarkan tiga tempat iaitu Ahmad Nor, Faridah dan anak lelaki pasangan itu, Ahmad Fakhrie, 19.

“Semoga di sana (Makkah dan Madinah) terubat hati,” kata Ibrahim.

Faridah menyambut baik tawaran itu dan mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim dan Andalusia serta akan menunggu suaminya pulih selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, susulan kejadian itu.

Dalam pada itu, wakil wilayah Andalusia yang dikenali sebagai Syahirah, dan juga Pegawai Agama Ustaz Luqman mengunjungi kediaman Ahmad Nor  dan menyampaikan hasrat Ibrahim beserta kelengkapan untuk tujuan umrah.

“Alhamdulillah, hasrat Tuan Haji Ibrahim untuk menaja pakej umrah untuk keluarga ini sudah disampaikan. MasyaAllah, mereka sangat gembira dan bersyukur atas rezeki ini,” demikian catatan melalui Facebook Andalusia.

Media sebelum ini melaporkan mangsa lelaki OKU terbabit dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.

Susulan itu enam suspek ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment