KUALA LUMPUR 25 Okt. – Dewan Rakyat diberitahu projek pelebaran jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka dilaksanakan syarikat konsesi ANIH Berhad (ANIH) pada suku kedua 2024.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Abdul Rahman Mohamad, berkata projek itu antara lain akan mengetengahkan sistem kutipan tol tanpa henti dikenali Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), bertujuan melancarkan pergerakan trafik.
Beliau berkata pelaksanaan projek pelebaran itu membabitkan jajaran bermula dari Plaza Tol Gombak ke persimpangan Central Spine Road, Bentong.
Cadangan itu, katanya, dijangka dapat menyediakan lebuh raya selesa, cepat, mudah, cekap dan mampu menangani isu kesesakan trafik yang sering berlaku di KLK, terutama ketika musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.
Katanya, ANIH Berhad juga sudah melaksanakan obligasi untuk memasang lampu di KLK seperti terkandung dalam perjanjian konsesi.
“Kerajaan juga sudah memasang lampu di jajaran Gombak, Terowong Genting Sempah ke persimpangan Central Spine Road yang termasuk dalam skop pelebaran yang akan dilakukan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai rancangan jangka pendek dan panjang untuk mengatasi kesesakan lebuh raya di Plaza Tol Gombak dan Bentong pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Rahman berkata, pengaktifan lorong smart menggunakan lorong kecemasan sudah dilaksanakan, namun tidak menyeluruh berikutan spesifikasinya memerlukan kelebaran 2.5 meter (m).
Bagaimanapun, katanya, pengaktifan lorong smart sementara tetap dilaksanakan mengikut keperluan berikutan kelebaran laluan kecemasan ketika ini adalah 2.25m.
“Kita sudah memasukkannya (spesifikasi lorong smart) dalam skop pelebaran membabitkan sehingga 3m bagi kemudahan lorong smart supaya penggunaan dapat dimaksimumkan,” katanya menjawab soalan tambahan Khairil Nizam.
Beliau berkata, lorong lawan arus turut dibuka di Terowong Genting Sempah mengikut keperluan, bertujuan menyuraikan kesesakan trafik di KLK, terutama pada hujung minggu.
Bagaimanapun, kekangan yang dihadapi apabila tiba di Plaza Tol Gombak, bermulanya kesesakan di Kuala Lumpur, menyebabkan kesesakan trafik berlaku hingga ke bandar Bentong yang sukar diatasi.
