Serah peruntukan kepada JKM, Baitulmal

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Jika tidak mahu memberi peruntukan secara terus kepada wakil rakyat pembangkang, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagai Serai), mencadangkan ia diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal atau Pejabat Daerah.

Beliau berkata tindakan sedemikian boleh dibuat jika kerajaan terus berdolak-dalih dan tidak percaya kepada Ahli Parlimen pembangkang, khususnya dalam menguruskan peruntukan di kawasannya.

“Kalau peruntukan itu tak mahu bagi pada kami tidak apa, kononnya dituduh peruntukan ini nanti diberi kepada TikTok, tak apa. Tapi biarlah peruntukan ini ada di kawasan kami.

Sekarang ini kami datang ke Parlimen, setiap hari pejabat kami didatangi rakyat. Ada yang kadang-kadang nak hantar anak ke hospital, yang mahu buat rawatan hospital, kita suruh ke JKM dan mereka (JKM) kata tak ada peruntukan.

“Kita rujuk kepada Baitulmal, contohnya semalam ada kes penghuni rumah nak kena halau sebab sewa RM1,500 tak bayar, tertunggak. Dia minta saya, kita suruh pergi Baitulmal, Baitulmal bagilah RM100,” katanya.

Idris yang mengemukakan cadangan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 hari ini, berkata, apa yang penting peruntukan itu ada dan rakyat boleh mendapatkan bantuan yang diperlukan.

“Bukan untuk kami, kami boleh bagi setakat RM50, RM100 tapi tak sepadan dengan apa yang mereka perlukan.

“Biarlah mekanisma ini diperkenalkan, kalau takut sangat nak beri kepada kami dan kalau perlu letak di pejabat pegawai (kerajaan) untuk uruskan pengagihan peruntukkan di tempat kami. Kami rela, pejabat kami bukan buka 24 jam, tapi 25 jam pun boleh,” katanya.

Idris mendakwa, ketika ini pelbagai aduan dan masalah dikemuka rakyat tidak dapat diselesaikan disebabkan JKM dan Baitulmal juga tidak disediakan peruntukan secukupnya.

Sementara itu, Idris berkata, penarikan kawalan harga telur dan ayam di pasaran sebenarnya berpotensi meningkatkan harga kedua-dua barangan itu.

“Sekarang ini pun kita dapat lihat harga telur, sebelum ini RM12.90 sudah meningkat kepada RM13.50. Bagi gred C, RM11.70 sebelum ini, sekarang naik RM12.30. Ini belum lagi tarik subsidi, maka harga barang ini sudah tentu akan naik. Selepas wujudnya kartel-kartel telur dan ayam yang memanipulasikan bekalan dan harga barangan ini.

“Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tahap sara diri (SSL) bagi ayam adalah 93.3 peratus dan SSL telur adalah 108.9 peratus.

“Ertinya, pengeluaran telur di negara ini melebihi daripada penggunaan. Oleh itu, isu telur tidak timbul kalau kita dapat bendung,” katanya.

Related posts

Leave a Comment