SEPANG 23 Feb. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sependapat dengan kenyataan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) supaya kaum-kaum lain tidak dilibatkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
Pengerusi Biro Ekonomi Perkasa Malaysia, Izhar Kahar berkata, melibatkan kaum lain merupakan satu kecelaruan fokus dalam memperkasa usahawan Bumiputera, seolah mempunyai agenda lain yang berteraskan politik.
Katanya, KEB perlu kepada ekosistem tersendiri dan unik dalam usaha memartabat usahawan Bumiputera dengan mengambil kira elemen penerapan nilai-nilai Islam dan pembudayaan perniagaan yang berteraskan konsep halalan toyibban.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata prestasi usahawan Bumiputera bukan terletak pada input daripada kaum lain.
Beliau berkata, tiada jaminan penglibatan kaum lain di dalam KEB yang bertujuan membentuk dasar mengutamakan Bumiputera dapat membawa anjakan paradigma yang amat ketara kepada usahawan dan perniagaan Melayu.
Ini kerana penglibatan mereka adalah hanya sebagai pemegang taruh lapis menengah.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia berkata, kaum lain tidak wajar untuk dilibatkan dalam KEB 2024 kerana ia dikhususkan untuk membincangkan isu serta permasalahan dalam kalangan bumiputera.
“Perlukah perbincangan soal agenda bumiputera kena panggil kaum lain? Adakah tidak ada bijak pandai orang Melayu?,” katanya.
Dalam pada itu, Izhar berkata, penglibatan kaum lain seolah satu manifestasi atau ‘gesture’ yang meletakkan mereka sebagai ‘upper hands’ atau ‘superior’ dalam merangka dasar KEB sedangkan komitmen utama memperkasa usahawan Bumiputera terletak sepenuhnya pada Kerajaan semasa khasnya Kementerian Ekonomi.
Beliau tidak menolak kemungkinan input dan pandangan kaum lain akan menimbulkan ‘clash of strategic fit’
“Ini kerana pembudayaan, etika dan ekosistem perniagaan yang diamalkan sejak turun temurun dan zaman berzaman oleh usahawan usahawan Cina atau bukan Melayu jelas mempunyai jurang perbezaan yang besar berbanding pembudayaan, etika dan penerapan nilai nilai Islam di kalangan usahawan usahawan Bumiputera.
“Statistik penglibatan Bumiputera dan prestasi pencapaian usahawan Bumiputera wajar dianalisa secara terperinci bagi mewujudkan tanda aras bagi mengukur dan menilai keberkesanan dasar dasar yang digubal dan dilaksanakan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, intipati KEB wajar mengambilkira dapatan dapatan daripada analisa kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran serta analisa kegagalan perniagaan perniagaan Bumiputera bagi mewujudkan rancangan, strategi dan hala tuju baik pulih serta intervensi yang lebih berkesan dalam mengurus kelemahan, cabaran dan kegagalan perniagaan Bumiputera di pelbagai peringkat dan sektor.
Katanya, KEB sebagai sebuah agenda nasional, sepatutnya diselaraskan dengan pelbagai dasar pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang bertindih yang dirangka sebelum ini seperti Dasar Tindakan Pembangunan Bumiputera (2021 – 2030).
“Pelbagai agensi pelaksana selama ini telah gagal membawa usahawan Bumiputera ke tahap pencapaian atau prestasi yang menepati sasaran dan unjuran kerana kecelaruan KPI.
Kementerian dan agensi Kerajaan lebih fokus dan teruja terhadap KPI dalaman dan institusi mereka yang lebih menekankan statistk tetapi bukan terhadap pencapaian prestasi usahawan dan kesinambungan perniagaan perniagaan Bumiputera.
Justeru, KEB 2024 wajar dimanafaatkan sebagai platform atau wadah bagi mengurus kelemahan dan kesilapan dasar dasar lepas untuk terus memperkasa usahawan usahawan Bumiputera,” katanya.
