Cawangan UMNO tolak calon hanya provokasi

JOHOR BAHRU 27 Ogos –  Barisan Nasional (BN) tidak akan melayan provokasi kononnya ada cawangan UMNO menolak calon daripada Pakatan Harapan (PH) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Sebaliknya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan, berkata tiada isu cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon terbabit walaupun terdapat sekurang-kurangnya 11 kain rentang mengenai cawangan itu menolak calon PH.

Katanya, tindakan itu disifatkan propaganda pihak tertentu untuk memecah-belahkan perpaduan BN dan PH yang dilakukan orang luar, malah kain rentang itu diturunkan dalam tempoh yang singkat.

“Saya ingin menafikan berkaitan perkara itu dan saya yakin mereka (orang luar) yang memasang, saya tak mahu sebut siapa mereka itu.

“Kain rentang itu diturunkan seawal mungkin dan tidak ada siapapun yang melaporkan mengenainya sedangkan ia melanggar Akta Pilihan Raya kerana ia tidak ada nama siapa yang mencetak atau yang menerbitkan. Ini bererti ia bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan yang ada,” katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bukit Kempas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Ramli Bohani dan Calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar kain rentang yang dipercayai dipasang di kawasan Parlimen itu yang menyampaikan mesej penolakan itu.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, sambutan yang beliau terima ketika melawat PDM di Parlimen itu amat baik dan menyatakan sokongan terhadap calon yang dipilih itu.

Katanya, pada orang luar mungkin tidak faham kenapa Ketua dan Timbalan UMNO Bahagian Pulai tidak bertanding di kawasan itu, sebaliknya memberi laluan kepada calon Amanah.

“Ketua UMNO Bahagian Pulai yang sebelum ini menjadi calon dilantik sebagai Senator dan Timbalan Speaker Dewan Negara, jadi tidak ada keperluan untuk bertanding.

“Timbalan Ketua Bahagiannya pula sudah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kempas dan setiausaha politik kepada Menteri Besar Johor, mereka sudah mempunyai tempat dan jawatan politik, jadi kita tak perlu tamak dalam memegang jawatan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment