Gerakan akhirnya sokong modul

SEPANG 27 Ogos – Gerakan menyokong usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi selagi ia khusus untuk pelajar beragama Islam, kata Presidennya Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Dalam satu kenyataan, beliau mendakwa masalah sering dihadapi ketika ini adalah ekoran kegagalan kerajaan dalam proses penerangan dan sering menimbulkan kegelisahan dalam kalangan orang ramai.

Gerakan yang sebelum ini membantah modul itu  menyifatkan kenyataan awal pihak berkuasa berhubung perkara berkenaan adalah terlalu makro dan mewujudkan kegelisahan kepada orang ramai, terutama ibu bapa dan pelajar bukan Islam.

“KPM perlu kukuhkan penerangan kepada pihak berkepentingan. Gerakan menyokong usaha ini dan mengharapkan KPM mendekati pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dengan penerangan perancangan, impak dan perjalanannya.

“Kita sebagai rakyat berbilang kaum dan agama perlu memahami konteks kesederhanaan dan menghormati pendekatan keagamaan rakan kita,” katanya.

Semalam, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong berkata, isu berhubung pelaksanaan modul oleh Kementerian Pendidikan timbul disebabkan penggunaan perkataan ‘diperluaskan’ ketika perkara itu diumumkan.

Menurut Ka Siong, penggunaan perkataan tersebut telah mengundang tanda tanya adakah pelaksanaan modul akan melibatkan semua murid dan pelajar tanpa mengira latar belakang.

“Apa yang menimbulkan reaksi masyarakat adalah pada awal digunakan perkataan projek perintis. Kemudian diperluaskan. Akan diperluaskan bagaimana? Sudah tentulah akan menyebabkan terjemahan atau interpretasi yang berlainan,” katanya.

Sementara itu, Lau berkata, selagi sesebuah pengajian tidak menimbulkan kesulitan kepada yang lain, tidak salah mereka yang beragama Islam menghayati asas kesucian yang menghimpunkan panduan kehidupan dan dipercayai membantu pembentukan akhlak generasi muda Islam lebih baik.

KPM pada minggu lalu, melancarkan modul yang bertujuan memupuk penghayatan hadis dan semangat kasih sayang bermula di peringkat sekolah, selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.

Program rintis modul itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan akan diperluas ke sekolah di bawah KPM tahun depan.

Namun, ia menjadi polemik, terutama dalam kalangan bukan Islam, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi biarpun penjelasan mengenai pelaksanaan modul itu hanya kepada pelajar dan guru beragama Islam sahaja sudah diberikan.

Lau berkata, pendekatan sederhana perlu diterapkan oleh semua pihak dalam menghormati hak keagamaan dan pengajiannya.

“Saya percaya setiap elemen kerohanian dan keagamaan perlu diterapkan dalam silibus pendidikan dan perkara ini jelas. Apa yang penting adalah proses penerangan berkenaan dengan pendekatan tersebut,” katanya.

Related posts

Leave a Comment